Sekilas
- Pelakon Esma Daniel mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Nadia Kesuma yang meninggal dunia akibat sakit jantung.
- Esma mengenang Nadia sebagai insan pemurah dan beradab, serta berkongsi pengalaman berlakon bersama dalam drama Samarinda.
- Anak perempuan Nadia memaklumkan lebih 500 jemaah hadir solat jenazah, yang diimamkan oleh suami Allahyarhamah selepas solat Subuh.
Pelakon Esma Daniel menitipkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Nadia Kesuma yang telah kembali ke rahmatullah pada Khamis lalu akibat sakit jantung.
Menerusi perkongsian di Threads, Esma menyifatkan rakan industrinya itu sebagai seorang insan yang pemurah serta sentiasa menjaga adab dan pekerti sebagai Muslimah
“Allahyarhamah Nadia Kesumawati, insan pemurah dengan senyuman, menjaga adab dan pekerti sebagai Muslimah serta sentiasa memelihara keizinan suami dalam kerjaya lakonannya.
“Berlakon bersama menerusi drama Samarinda: Cinta Bukan Milik Kita terbitan Zeel Production, bergandingan sebagai suami isteri dan Sharifah Rose sebagai anak,” tulisnya.

Menurut Esma, pemergian Nadia merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air dan berharap roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Pemergian beliau dijemput pulang ke rumah Allah SWT. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan solihin.
“Salam takziah buat suami dan anak-anak. Al-Fatihah,” tambahnya.
Terdahulu, anak perempuan kepada Allahyarhamah Nadia Kesuma turut berkongsi rasa syukur selepas selesai solat jenazah ibunya yang berlangsung pada Isnin.
Menerusi Threads, anaknya memaklumkan seramai lebih 500 jemaah hadir menyempurnakan solat jenazah bersama ahli keluarga terdekat.
Difahamkan, suami Allahyarhamah, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, mengimamkan solat jenazah isterinya selepas solat Subuh waktu tempatan.
Sebelum ini, pemergian pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu mengejutkan ramai apabila Allahyarhamah dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), pelakon Anne Abdullah.
Susulan kejadian itu, suami Allahyarhamah dilaporkan merayu bantuan kerajaan Malaysia untuk menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian isterinya sebelum berita pemergian disahkan.
Sumber: Threads