Sekilas
- Datin Lisa Surihani dilantik sebagai jurucakap Irkaz Travel untuk musim Haji 1448H/2027M berdasarkan pengalaman peribadinya menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut.
- Irkaz Travel sekali lagi dipilih sebagai Pengelola Jemaah Haji dengan fokus meningkatkan mutu perkhidmatan dan keselesaan jemaah sepanjang di Tanah Suci.
- Syarikat akan menyertai Karnival Haji, Umrah & Pelancongan 1448H/2027M dengan tawaran potongan harga sehingga RM5,000 bagi pakej haji termasuk pilihan Pakej Selesa dan Pakej Premium Rotana.
Pelakon Datin Lisa Surihani kini menggalas tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai jurucakap Irkaz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Irkaz Travel) bagi musim Haji 1448H/2027M.
Menariknya, pelantikan tersebut bukan sekadar kerjasama dengan selebriti, sebaliknya mempunyai nilai sentimental kerana Lisa sendiri pernah menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan untuk menunaikan ibadah umrah dan haji.
Hubungan Lisa dengan Irkaz Travel bermula pada 2022 apabila dia memilih syarikat tersebut untuk menunaikan umrah sebelum kembali menggunakan perkhidmatan sama bagi mengerjakan haji pada musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Irkaz Travel, Mohd Zakri Mohamad Nor berkata, pengalaman peribadi Lisa sebagai jemaah menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai jurucakap.
“Hubungan kami dengan Lisa bukan bermula sebagai duta. Dia terlebih dahulu mengenali Irkaz Travel sebagai jemaah umrah pada tahun 2022 sebelum kembali bersama kami untuk menunaikan haji tahun ini.
“Jadi apabila Lisa berkongsi mengenai Irkaz Travel, dia berkongsi berdasarkan pengalaman yang dilaluinya sendiri.
“Kami percaya pengalaman itu membolehkan dia menyampaikan kepada masyarakat gambaran yang lebih dekat tentang persediaan dan perjalanan sebagai seorang jemaah,” katanya.
Menerusi peranan baharu tersebut, Lisa akan berkongsi pengalaman serta maklumat berkaitan persediaan menunaikan haji, khususnya kepada bakal jemaah yang merancang perjalanan ke Tanah Suci.

Dalam pada itu, Irkaz Travel turut mengumumkan bahawa syarikat tersebut sekali lagi dipilih sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim 1448H/2027M.
Ketua Operasi Haji Irkaz Travel, Haji Amzari Jaafar berkata, pengalaman mengendalikan dua kumpulan jemaah pada musim lalu menjadi asas untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
“Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun kedua Irkaz Travel diberi peluang dan kepercayaan sebagai Pengelola Jemaah Haji.
“Pengalaman musim pertama banyak mengajar kami mengenai keperluan sebenar jemaah, bukan sahaja dari aspek operasi tetapi juga keselesaan, kebajikan dan bimbingan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kami mahu setiap jemaah yang bersama Irkaz Travel dapat memberi tumpuan kepada ibadah dengan lebih tenang kerana urusan perjalanan mereka diuruskan sebaik mungkin,” ujarnya.

Selain Lisa, penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan juga antara personaliti yang pernah menunaikan haji menggunakan perkhidmatan Irkaz Travel pada musim lalu.

Sementara itu, Irkaz Travel bakal menyertai Karnival Haji, Umrah & Pelancongan 1448H/2027M yang berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober ini di Movenpick Convention Centre, Sepang.

Sempena karnival tersebut, syarikat berkenaan menawarkan potongan harga sehingga RM5,000 bagi pendaftaran pakej haji, tertakluk kepada terma dan syarat.
Antara pilihan yang disediakan ialah Pakej Selesa bermula RM49,999 bagi bilik berempat, dengan harga promosi serendah RM44,999.
Sementara itu, Pakej Premium Rotana pula ditawarkan bermula RM74,999 bagi bilik berempat, termasuk kemudahan penginapan berhampiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta perjalanan menggunakan Haramain High Speed Train.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi reruai Irkaz Travel di A041 hingga A044 sepanjang karnival berlangsung.