Sekilas
- Penyanyi Korea Selatan Psy didenda 5 juta won (RM16,000) kerana memiliki ubat tidur secara haram tanpa preskripsi yang sah.
- Kesalahan melibatkan preskripsi ubat tidur yang diperoleh tanpa pemeriksaan doktor secara langsung dan diambil oleh pihak ketiga termasuk pengurusnya.
- Psy masih boleh memohon perbicaraan rasmi dalam tempoh tujuh hari, jika tidak, keputusan denda akan menjadi muktamad.
Penyanyi popular Korea Selatan, Psy, atau nama sebenarnya Park Jae-sang, 49, dikenakan denda sebanyak 5 juta won (RM16,000) selepas didapati melanggar Akta Perkhidmatan Perubatan Korea kerana memiliki ubat tidur secara haram atau tanpa preskripsi.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Choi Ye-jin dari Bahagian Ringkasan 12, Mahkamah Daerah Barat Seoul, yang mengeluarkan perintah ringkasan terhadap Psy pada 15 September lalu, lapor The Chosun Daily.
Perintah ringkasan merupakan prosedur mahkamah bagi kesalahan yang dianggap lebih ringan, dengan hukuman seperti denda boleh dikenakan berdasarkan penelitian dokumen tanpa perbicaraan penuh.
Bagaimanapun, penyanyi Gangnam Style itu masih mempunyai hak untuk memohon perbicaraan rasmi dalam tempoh tujuh hari selepas menerima perintah tersebut.
Psy sebelum ini didakwa menerima preskripsi secara tidak bersemuka bagi memperoleh ubat tidur jenis Xanax dan Stilnox dari sebuah hospital universiti di Seoul, antara tahun 2022 hingga tahun lalu.
Lebih mencetuskan kontroversi, ubat berkenaan dikatakan telah diambil oleh pihak ketiga, termasuk pengurusnya, bagi pihak penyanyi terbabit.
Mengikut Akta Perkhidmatan Perubatan Korea yang berkuat kuasa ketika kesalahan itu berlaku, preskripsi sepatutnya dikeluarkan selepas doktor membuat pemeriksaan secara langsung terhadap pesakit.
Malah, ubat yang dipreskripsikan juga perlu diambil oleh pesakit yang menjalani pemeriksaan tersebut.
Pelanggaran peraturan ini boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum 10 juta won (sekitar RM32,000).
Bagaimanapun, terdapat pengecualian tertentu, termasuk bagi pesakit yang tidak sedarkan diri atau tidak mampu bergerak. Namun, pihak berkuasa memaklumkan Psy tidak termasuk dalam kategori berkenaan.
Sehingga laporan ini dikeluarkan, Psy dilaporkan belum memohon perbicaraan rasmi terhadap perintah denda tersebut. Sekiranya tiada permohonan dibuat dalam tempoh tujuh hari, perintah ringkasan berkenaan akan menjadi keputusan muktamad.
Sebelum ini, Balai Polis Seodaemun Seoul telah merujuk Psy, pengurusnya serta enam individu lain, termasuk seorang doktor hospital universiti yang didakwa memberikan preskripsi ubat tidur tersebut kepada Pejabat Pendakwa Raya Daerah Barat Seoul pada Mei lalu.
Kesemua mereka dirujuk tanpa penahanan.
Pada Julai pula, pihak pendakwaan dilaporkan mendakwa Psy dan doktor berkenaan melalui prosedur ringkasan, manakala pengurus Psy serta empat kakitangan perubatan lain diberikan pendakwaan bersyarat.
Kes tersebut bagaimanapun tidak melibatkan dakwaan Psy mengambil ubat tersebut untuk tujuan selain kegunaan perubatan sebaliknya isu utama yang disebut dalam prosiding ialah cara preskripsi diperoleh dan cara ubat itu diambil bagi pihaknya.