Sekilas
- Pelakon Qasrina Karim berkongsi keluarganya mendoakan keselamatan adik bongsunya, Arif Karim, yang kini belajar perubatan di Mesir.
- Arif dijangka pulang minggu depan, tetapi penerbangan tertunda kerana lapangan terbang di Mesir ditutup akibat ketegangan politik di rantau tersebut.
- Walaupun keluarga risau, Arif dan komuniti pelajar Malaysia di sana dilaporkan dalam keadaan selamat dan mereka berharap dapat meraikan Syawal bersama tahun ini.
Pelakon Qasrina Karim, berkongsi keluarganya mendoakan keselamatan adik bongsunya, Arif Karim, 24, yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Manaoura di Mesir.
Qasrina berkata adik lelakinya sudah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke tanah air minggu hadapan, namun disebabkan keadaan ketegangan membabitkan Iran, rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) ketika ini, semua lapangan terbang di Mesir ditutup buat sementara waktu.
“Adik saya sekarang berada di Mesir dan dia maklumkan di tempatnya berada sekarang, semuanya baik-baik saja.
“Di sana juga ada ramai pelajar Malaysia dan ada komuniti pelajar Malaysia juga. Jadi dia ada maklumkan semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Mengikut perancangan, minggu depan dia mahu balik beraya, tapi semua lapangan terbang di sana tutup buat masa sekarang, jadi tak tahu dia boleh balik atau tidak. Kena tunggu keadaan reda dulu,” katanya.
Qasrina berkongsi perkara itu ketika ditemui majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli belah KLGCC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Berkongsi lanjut, pelakon berusia 30 tahun itu berkata, seluruh keluarganya bimbang dengan keselamatan adiknya, apatah lagi kepulangannya dinanti-nantikan selepas tidak dapat menyambut Syawal bersama tahun lalu.
“Sudah tentu satu keluarga saya fikirkan dia apatah lagi dia sepatutnya balik minggu depan tapi disebabkan keadaan di sana, mungkin dia tak boleh balik.
“Tapi dia maklumkan keadaan di sana selamat, jadi kami okay. Dia pun tenang, dan tak panik. Bila dia tenang, kami pun tenang.
“Satu keluarga saya memang risaukan keadaan dia di sana, terutamanya emak saya. Emak saya sentiasa bermesej dengan ibu bapa pelajar di sana, untuk tahu perkembangan semasa. Alhamdulillah setakat ini semua pelajar di sana selamat,” katanya.
Pelakon drama Thariq Ridzuwan: His Treasure ini berkata, dia dan keluarganya mendoakan kepulangan adiknya dipermudahkan dan hasrat untuk meraikan Syawal bersama tahun ini, dimakbulkan.
“Kami memang mengharapkan dapat meraikan Syawal bersama, sebab tahun lepas dia tak balik, jadi sepatutnya tahun ini kami mahu berkumpul memandangkan kakak baru selamat melahirkan anak.
“Sebab kakak saya bersalin juga dia putuskan nak balik tapi kalau tak dapat, tak mengapa, asalkan dia selamat. Itu saja yang kami doakan. Kita doakan yang terbaik buat dia,” kata anak ketiga dari empat beradik ini.