Sekilas
- Kodi Rasheed mengesahkan Que Haidar berada dalam keadaan baik dan sering berhubung untuk bertanya khabar walaupun Que dikatakan menghilangkan diri.
- Kodi menasihatkan orang ramai supaya tidak mencampuri urusan peribadi Que dan menghentikan fitnah, memberi ruang untuk Que menyelesaikan masalahnya.
- Isu perceraian Que dan Linda Jasmine kembali hangat selepas pengesahan perceraian mereka pada 2 Julai 2024 selepas 15 tahun bersama dan dakwaan Linda mahu lindungi anak-anak.
Pelakon, Kodi Rasheed berkongsi keadaan terkini aktor, Que Haidar yang dikatakan menghilangkan diri selepas dihimpit dengan pelbagai dakwaan sejak akhir-akhir ini.
Menurut Kodi, Que yang sudah dianggapnya sebagai abang itu berada dalam keadaan yang baik.
Ujar pemilik nama Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed ini, dia juga sering berhubung dengan Que untuk bertanya khabar.
“Saya ada berhubung dengan dia sebab dia cikgu saya kan? Mestilah saya tanya khabar dia, okay ke tidak.
“Saya juga ada pelawa dia untuk tengok filem terbaharu saya iaitu Libang Libu serta bertanyakan mengenai promo filem Malaikat Malam. Itu saja.
“Bertanya khabar itu biasa. Saya macam wajib telefon dia dalam seminggu minggu dua atau tiga kali. Kalau tak seminggu dua kali pun, bila terdetik saja kami akan telefon.
“Dia okay Alhamdulillah. Saya pun tak nak masuk campur sebab dua-dua adalah guru saya,” katanya kepada Gempak.
Kodi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Libang Libu bertempat di GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Melihat kepada sokongan yang diberikan terhadap Que, pelakon filem Malaikat Malam ini menyifatkan sokongan yang diterima pelakon itu sebagai balasan atas kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Kodi mengakui turut bersedih dengan dakwaan yang dilemparkan terhadap Que namun menganggap ada hikmah disebalik setiap apa yang berlaku.
“Ramai yang sayangkan dia, baguslah. Bagi Kodi apa yang dia doa, apa yang dia buat sebelum-sebelum ni, inilah balasannya sekarang.
“Cuma bila jadi macam ni sedih. Malah, waktu mereka bercerai pun sedih sebenarnya sebab mereka adalah sweet couple.
“Tapi untuk kita nak tanya lebih-lebih itu macam sibuk hal orang pula. Jadi saya hanya boleh beri sokongan dan insya-Allah ada bena baik nak datang. Mungkin ada hikmah disebalik benda-benda ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kodi menasihatkan orang ramai untuk henti melemparkan fitnah serta tidak mencampuri urusan peribadi Que sebaliknya beri peluang untuk aktor untuk menyelesaikannya.
“Cuma apa yang saya boleh katakan untuk orang luar ataupun orang sekeliling dorang ini, tak perlu masuk campur.
“Biar mereka yang selesaikan. Tak perlu ada sindiran ataupun hasutan sebab kita tak tahu pun hal suami isteri kan? Insya-Allah akan ada benda baik buat mereka,” ujarnya.
Terdahulu, isu perceraian antara Que dan Linda Jasmine kembali menjadi perhatian selepas Linda mendakwa perpisahan mereka terjadi kerana mahu melindungi anak-anak daripada kejahatan.
Untuk rekod, Que mendedahkan dia dan Linda sudah sah bercerai pada 2 Julai 2024 selepas 15 tahun hidup bersama.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 16, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13.
Linda juga memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24, hasil perkahwinan terdahulu.