Sekilas
- Raja Azura mendoakan agar Abby Abadi dan keluarganya dapat menemui jalan penyelesaian dalam kemelut bersama anaknya, Marissa Dania Hakim.
- Raja Azura menasihatkan ibu-ibu supaya menjaga kesihatan mental dan tidak menyimpan perasaan negatif dalam diri.
- Raja Azura bakal kembali mengemudi program realiti Kilauan Emas Selebriti selepas 11 tahun, yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura mendoakan agar sahabatnya yang juga pelakon, Abby Abadi sentiasa diberikan ketenangan serta berharap kemelut Abby bersama anaknya, Marissa Dania Hakim menemui jalan penyelesaian.
Menurut Raja Azura yang lebih mesra disapa Kak Engku, dia percaya Abby dan bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim telah membesarkan anak-anak mereka dengan didikan yang baik malah bekas penyampai radio Sinar ini juga yakin hubungan keluarga mereka akan kembali pulih.
“Saya doakan semoga Allah SWT memberikan Abby Abadi ketenangan dalam dirinya dan sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Insya-Allah, dia akan berdamai dengan keluarganya.
“Keluarganya semuanya dididik dengan baik. Dia sendiri mendidik anak-anaknya dengan baik, begitu juga Norman. Sebelum ini saya juga pernah melihat bagaimana keluarga mereka bersatu. Insya-Allah, pasti ada jalan,” katanya kepada Gempak.
Raja Azura berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran Astro Fandom di D Theatre Malaysia, Empire Damansara pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Raja Azura turut menitipkan pesan kepada golongan ibu di luar sana untuk sentiasa mengutamakan kesihatan mental apabila berdepan dengan segala ujian.
“Dalam situasi sebagai seorang ibu, apa sahaja yang berlaku, jangan ambil hati dan jangan simpan dalam hati. Sebab yang paling penting ialah kita perlu menjaga diri sendiri, hati dan mentaliti kita.
“Kalau kita sayang pada diri sendiri, jagalah diri kita. Sebab orang lain tidak akan mampu menjaga diri kita melainkan diri kita sendiri.
“Yakinlah Allah SWT sentiasa bersama kita dan Dia yang akan mempermudahkan urusan hidup kita sekiranya kita menjaga hubungan hati dengan-Nya,” ujarnya.
Ditanya mengenai trend segelintir pihak yang gemar meluahkan perasaan di media sosial, Raja Azura berpendapat bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berdepan dengan masalah.
Walau bagaimanapun, Raja Azura mengakui bahawa dia lebih selesa untuk berdiam diri bagi mengelakkan salah faham.
“Sebenarnya, semuanya bergantung kepada individu itu sendiri, bagaimana dia mencorak dan membawa dirinya. Kalau dia rasa itu yang hendak dilakukan, itu terpulang kepada dirinya.
“Macam saya, saya lebih suka berdiam diri. Bagi saya, semakin banyak kita bercakap, semakin banyak kita melakukan kesilapan. Saya tidak mahu jadi begitu.
“Apabila saya terlalu banyak bersuara, semakin banyak saya bercakap, semakin banyak kesilapan yang saya lakukan. Jadi saya rasa bersalah kepada diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, hubungan Abby dan Marissa kembali menjadi perhatian ramai selepas dua beranak itu dilihat memuat naik beberapa luahan berkaitan kemelut keluarga mereka di media sosial.
Dalam perkembangan lain, Raja Azura bakal kembali mengemudi program realiti Kilauan Emas selepas 11 tahun menerusi edisi baharu, Kilauan Emas Selebriti, yang dijangka menemui penonton tidak lama lagi.