Sekilas
- Lagu latar berjudul "Rindu Wajahan" nyanyian Zamzuriah Zahari dari filem seram Malam Terlarang kini boleh didengari secara rasmi di YouTube Astro Shaw.
- Lagu ini mendapat pujian netizen kerana vokal dan gaya klasik Zamzuriah yang sesuai dengan tema filem berlatar era 1980-an tersebut.
- Filem Malam Terlarang arahan Nurhanisham Muhammad masih ditayangkan di pawagam Malaysia dan Brunei dengan sambutan hangat penonton.
Tanda tanya penonton mengenai lagu latar yang menjadi siulan dalam filem seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang akhirnya terjawab apabila lagu tersebut kini boleh didengari secara rasmi di saluran YouTube Astro Shaw.
Sebelum ini, penonton berulang kali meninggalkan komen di media sosial kerana tertarik dengan melodi syahdu yang mereka dengar dalam filem tersebut, namun gagal menjejaki tajuknya.
Antara komen penonton:
“Kan best lagu ni… apa nama lagu ni? Alahai cari-cari tak jumpaaa.
“Up lagu min, up lagu… stress gwa adeh.
“Laguni terperap dalam otak aku. Nak cari tajuk tak ada pulak kat YouTube.
“Siapa nyanyi lagu ni ya?,” komen beberapa netizen.
Atas permintaan tinggi, lagu berjudul Rindu Wajahan nyanyian Zamzuriah Zahari itu sudah dimuatnaik sepenuhnya untuk tatapan peminat.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pendengar memuji keindahan vokal dan gaya penyampaian Zamzuriah yang membawa nostalgia era lagu klasik.
“Wah, sedap lagu ni… suara dia macam era 70 atau 80an.
“Syahdu sungguh lagu ni, memang sesuai dengan filem Malam Terlarang.
“Best lagu ni. Susah dah nak dapat vibe lagu klasik macam ni sekarang.
“Akhirnyaaa! Suka sangat vibe lagu ni,” komen beberapa netizen.
Untuk makluman, Rindu Wajahan adalah hasil ciptaan MonoloQue, yang bertanggungjawab menghasilkan keseluruhan muzik latar dan soundtrack filem Malam Terlarang.
Malam Terlarang menampilkan gandingan pertama Zul Ariffin dan Sofia Jane sebagai teraju utama, diikuti Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Haneesya Hanee, Aila Azizul serta Sadiq M. Jamil.
Berlatar era 1980-an, filem arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) ini mengetengahkan tema mistik serta ritual Nusantara yang disulam mesej kekeluargaan dan pengorbanan.
Filem tersebut masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei, dan terus mendapat sambutan hangat daripada penonton.