Sekilas
- Amyza Aznan berkongsi bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza selepas pemergian anaknya, Andre Mikhail, namun keluarga tetap meraikan bersama keluarga dan rakan-rakan.
- Mereka merancang mengadakan majlis tahlil pada malam pertama Aidilfitri sebagai cara mengisi rindu terhadap arwah Andre.
- Amyza mengakui rasa sedih datang dan pergi, namun dia menangis sebagai cara melepaskan perasaan sebelum bangkit semula, sambil mengenang kenangan manis Andre yang suka menyanyi setiap kali Hari Raya.
Pelakon Amyza Aznan mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza buat keluarganya selepas pemergian anak tersayang, Andre Mikhail.
Menurut Amyza, meskipun perasaan sedih masih dirasai, mereka tetap akan menyambut Aidilfitri seperti biasa dengan kehadiran keluarga serta rakan-rakan yang datang menziarah.
"Tahun ini raya kami memang takkanlah tak meraikan sebab kita berayakan, sedih-sedih juga tapi kepada macam ada keluarga, kawan-kawan yang datang menziarah kita sambut juga,” katanya kepada Gempak.
Bagi mengisi rasa rindu terhadap arwah, Amyza berkata mereka sekeluarga merancang untuk mengadakan majlis tahlil pada malam hari pertama Aidilfitri.
"Untuk mengisi rasa rindu, rasa yang tiba-tiba Andre tak ada tu, jadi pada raya pertama malam kita decide untuk buat tahlil. InsyaAllah daripada petang tu sampai malam kita akan buat tahlil untuk Andre, itulah sahaja aktiviti raya kami," ujarnya.
Sebagai seorang manusia, Amyza juga mengakui rasa sedih itu tetap akan datang kepadanya.
Bagaimanapun, dia tetap bangkit untuk melawan rasa sedih tersebut agar tidak memudaratkan diri sendiri.
"Kekuatan itu, jujur saya cakap kejap ia datang dah pergi. Tapi itulah kalau kita terlampau ikut ia akan memudaratkan diri, sebab itu saya tak layan sangat kadang-kadang tapi bila dah terlampau saya menangis sahaja.
"Menangis sahaja yang boleh bagi saya release dan cool down. Lepas tu saya akan okay dan bangkit balik, nak nangis nangislah janji kita tahu limit, jangan sampai kita rosakkan diri, itu sahaja," katanya lagi.
Berkongsi kenangan manis bersama arwah, Amyza berkata terlalu banyak memori indah yang sukar dilupakan, terutama ketika menyambut hari raya.
Menurutnya, arwah Andre sangat gemar menyanyi dan perkara itu menjadi antara kenangan yang paling diingati setiap kali Aidilfitri.
"Kenangan manis itu terlalu banyak, kalau hari raya kita suka dengar suara dia. Sebab dia suka menyanyi, jadi itulah momen hari raya dengan dia yang kami akan ingat,” tambahnya.