Skip to main content

Berita Tempatan

Rayme Zainal Tak Merajuk Dengan Dunia Nyanyian, Rezeki Lebih Besar Sebagai Penganjur Acara - "Saya Percaya Peminat Saya Masih Menunggu"

Rayme_penyanyi

Penyanyi Rayme Zainal menegaskan dia tidak pernah merajuk dengan bidang nyanyian meskipun kini lebih memberi tumpuan kepada kerjaya baharunya sebagai penganjur acara.

Katanya, minat menyanyi masih kekal kuat dalam dirinya, cuma keutamaan kini terarah kepada perniagaan yang lebih menjanjikan kestabilan rezeki serta peluang berkembang.

Advertisement

“Buat masa ini hanya lebih fokus kepada pengurus acara ini kerana rezeki dalam perniagaan ini lebih berpihak kepada saya selain dapat menjana pendapatan.

"Nyanyian ini saya hanya buat sekadar pendapatan tambahan sahaja kalau ada undangan nyanyian baru saja saya aktif balik namun dalam perancangan mengeluarkan single terbaru.

"Kalau hendak kata rindu menyanyi memang tidak diakui namun saya masih boleh menyanyi di acara yang saya anjurkan bahkan lagu-lagu saya masih lagi ada sambutan juga,” katanya kepada Gempak.

Rayme, 47, ditemui pada majlis pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 dan pengumuman penaja di MiCasa All Suites Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.

Festival gaya hidup, hiburan dan makanan itu akan berlangsung selama lima hari bermula 12 September di Stadium Nasional Bukit Jalil bersempena sambutan Hari Malaysia.

Antara tarikan utama acara tersebut ialah Fun Run Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 pada 16 September yang bakal menghimpunkan lebih 1,000 peserta. Lebih istimewa, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza akan membuat kemunculan khas bagi menyemarakkan suasana sambutan Hari Malaysia dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, Konsert Ambang Hari Malaysia turut menampilkan barisan artis popular seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Hazama, Amylea Adnan, kumpulan Alpha dan juara Raising The Star, Didie Shazry.

Rayme yang pernah menyertai pertandingan realiti All Together Now pada 2022 juga optimis nyanyiannya tetap ada tempat di hati peminat.

Lagu-lagu terdahulunya seperti Andai dan Close To You masih mendapat sambutan di Spotify, malah dia yakin single terbaharunya kelak mampu membuka lebih banyak peluang dalam industri seni.

Menyorot kembali kejayaannya sebagai penganjur, Rayme menerusi syarikatnya Raydiates Blue Sdn Bhd berjaya menganjurkan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal selama 33 hari sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025.

Acara tersebut menerima sambutan luar biasa apabila mencatat nilai jualan sehingga RM10 juta melibatkan lebih 300 peniaga.

Melihat kepada kejayaan itu, Rayme menyasarkan untuk menganjurkan acara berskala antarabangsa tahun depan. Baginya, usaha ini bukan sekadar perniagaan, sebaliknya sebagai platform mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seni dan budaya di mata dunia.

“Kalau hendak kata saya tinggalkan nyanyian kerana merajuk, itu memang tidak betul. Saya tidak merajuk, saya masih cintakan muzik.

"Cuma buat masa ini, saya mahu lebih serius dalam bidang penganjuran acara kerana saya nampak potensi besar di situ. Insya-Allah, saya tetap akan menyanyi bila ada peluang, dan saya percaya peminat saya masih menunggu,” jelasnya lagi.

Must-Watch Video

Advertisement