Sekilas
- Nene Royal, remaja wanita berusia 16 tahun dari Thailand, dinobatkan sebagai juara America’s Got Talent musim ke-21 dengan persembahan lagu Seven Nation Army.
- Nene membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta dan mendapat sambutan hangat di Thailand sebagai inspirasi kepada peminat dan rakyat negara itu.
- Video audisi Nene yang membawakan lagu Zombie tular dengan lebih 20 juta tontonan, dan beliau turut berkongsi pentas dengan kumpulan Linkin Park sebelum diumumkan sebagai pemenang.
Remaja wanita berusia 16 tahun, Nene Royal, mencipta bukan hanya mencipta sejarah peribadi tetapi juga buat negaranya, Thailand apabila dinobatkan sebagai juara terbaru program realiti popular America’s Got Talent (AGT).
Nene atau nama sebenarnya, Rattikarn Amloy, dinobatkan sebagai juara pada pentas final yang berlangsung di California, Selasa lalu. Kemenangan tersebut menyaksikan Nene membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta).
Cukup terkenal dengan genre rock, penyanyi muda itu mempersembahkan lagu Seven Nation Army nyanyian kumpulan rock Amerika Syarikat, The White Stripes untuk muncul sebagai juara.
Persembahan heavy metal bertenaga miliknya berjaya menewaskan sembilan finalis lain yang terdiri daripada ahli silap mata, aksi anjing berbakat serta kumpulan tarian robot.
Kemenangan tersebut disambut meriah di Thailand, malah ramai meluahkan rasa bangga melihat remaja itu berjaya menjejakkan kaki ke salah satu pentas pertandingan bakat terbesar di dunia.
Kerajaan Thailand turut menyifatkan Nene sebagai “inspirasi kepada sesiapa sahaja yang berani bermimpi besar.
Terdahulu, penampilan Nene sememangnya sudah mencuri perhatian ramai sejak awal pertandingan selepas video audisinya tular di media sosial.
Menerusi persembahan tersebut, Nene tampil membawakan lagu Zombie daripada kumpulan rock Ireland, The Cranberries, sehingga membuatkan barisan juri terpukau.
Video berkenaan kini telah meraih lebih 20 juta tontonan.

Menjelang pengumuman keputusan, Nene turut berkongsi pentas bersama kumpulan rock terkenal Linkin Park untuk membawakan lagu The Emptiness Machine, yang dilancarkan kumpulan itu pada 2024.
Namun, beberapa ketika kemudian, emosi Nene tidak dapat dibendung apabila namanya diumumkan sebagai juara musim ke-21 America’s Got Talent.
Nene dilihat menitiskan air mata sebelum berlutut di atas pentas meraikan kemenangan bersejarah tersebut.
“Saya sangat gembira dan terharu ketika ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya seperti dilaporkan BBC.