Sekilas
- Yaya Zahir menegaskan generasi muda perlu kuasai adab dan cara berkomunikasi selain kemahiran kerja sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
- Beliau menekankan pentingnya pembawaan diri yang baik dalam permohonan kerja, termasuk cara memperkenalkan diri melalui e-mel.
- Dalam memilih pelatih industri, Yaya mengutamakan gabungan kebolehan bekerja dan keperibadian yang positif serta menyenangkan.
Pengacara dan usahawan Yaya Zahir mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik serta kemahiran kerja, sebaliknya turut menguasai adab dan cara berkomunikasi sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Menurut Yaya, generasi muda mempunyai kebolehan serta kesedaran tentang kekuatan masing-masing, namun kelebihan tersebut perlu disertai kemahiran membawa diri.
Katanya, kebolehan melaksanakan tugas sahaja belum memadai sekiranya seseorang tidak tahu berinteraksi dengan baik.
“Generasi muda sekarang, saya rasa mereka sangat, sangat bijak dan mereka tahu apa yang mereka mahir lakukan, apa yang mereka mampu buat.
“Kalau anda mempunyai kemahiran yang sangat bagus dari segi kerja sekalipun, tetapi dari segi pembawaan diri anda tidak reti, itu pun bukan satu gandingan atau kombinasi yang baik,” katanya.
Yaya berkongsi perkara tersebut selepas menjadi penceramah bersama Financial Faiz dalam sesi perkongsian pengurusan kewangan menerusi program Mekdi Gempakkan Kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.
Mengulas cara memohon pekerjaan, Yaya berkata, perkara asas seperti memperkenalkan diri menerusi e-mel juga perlu diberikan perhatian.
“Dalam e-mel pun tidak ada, ‘Hai, saya sekian-sekian… selamat berkenalan, ini resume saya.’ Tidak ada.
“Saya rasa mereka sepatutnya betul-betul faham tentang perkara itu. Benda itu penting, sangat penting sebenarnya.
“Sebab kalau anda hebat dari segi akademik sekalipun, tetapi dalam kehidupan realiti anda tidak reti beradab, tidak reti bercakap, tidak reti bertutur kata, ia tidak akan membawa anda jauh,” ujarnya.
Ditanya mengenai aspek yang diutamakan ketika memilih pelatih industri, Yaya menjelaskan dia mempertimbangkan kedua-dua kebolehan bekerja dan keperibadian calon.
Menurutnya, individu yang menyenangkan serta memberikan suasana positif turut mempunyai kelebihan ketika berinteraksi secara bersemuka.
“Saya suka kalau kerja dia okey, biasa-biasa, tetapi apabila jumpa secara peribadi, saya rasa orang itu sangat menyenangkan dan memberikan tenaga yang positif.
“Kalau dia hebat dari segi rekaan, kemudian pandai pula membawa diri, beradab dan pandai bercakap, kedua-duanya penting,” jelasnya.
Dalam pada itu, Yaya menyambut baik penganjuran Mekdi Gempakkan Kampus yang memberikan ruang untuknya bertemu dan berkongsi pengalaman dengan pelajar.
“Saya rasa ia satu inisiatif yang sangat bagus dan seronok juga dapat berjumpa dengan generasi muda,” tuturnya.