Filem aksi tempatan yang mencetuskan fenomena, Polis Evo, bukan sahaja mendapat sambutan hangat di pawagam, tetapi turut menjadi titik penting dalam mencorak langkah kerjaya pengarah dan penulis naskhah filem tempatan.
Sejak ditayangkan pada tahun 2015, Polis Evo membuktikan bahawa filem aksi tempatan mampu menandingi kualiti produksi antarabangsa.
Advertisement
Filem ini bukan sahaja memecah rekod kutipan, malah membuka mata industri terhadap potensi sebenar dalam genre aksi dan jenayah yang dibawa secara matang, sinematik, dan berjiwa tempatan.
Revolusi bakat seni
Polis Evo bukan sahaja mencetuskan fenomena budaya pop Malaysia dengan watak ikonik seperti Inspektor Khai dan Inspektor Sani, tetapi menjadi pemangkin penting dalam melahirkan generasi baharu bakat industri.
Francais ini telah membuka ruang besar buat penulis dan pencetus idea asal seperti Joel Soh (The Experts), Kyle Goonting sebagai showrunner untuk siri Astro Originals iaitu Framed, dan Anwari Ashraf (Project High Council), yang bermula bersama Polis Evo sebelum berkembang menjadi antara pengarah dan penulis berpengaruh.
Turut membina nama bersama francais ini termasuklah penulis dan penerbit seperti Abhilash Chandra yang kini merupakan pengarah filem Blood Brothers, Syafiq Yusof yang cemerlang dengan filem box office Sheriff dan Blood Brothers, Andre Chiew, Ghaz Abu Bakar dan ramai lagi.
Polis Evo juga menjadi lonjakan karier untuk ramai pelakon yang terus bersinar selepas penglibatan mereka dalam francais ini.
Hal itu sekaligus membuktikan bahawa setiap naskhahnya bukan sekadar hiburan pecah panggung, tetapi juga sebuah ekosistem yang membina dan mengangkat bakat seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
Kini, selepas 10 tahun sejak tayangan pertamanya, Polis Evo terus diingati sebagai karya ikonik yang bukan sahaja mengangkat standard filem tempatan, tetapi juga menjadi pencetus penting dalam perjalanan kerjaya nama nama besar dalam industri filem tempatan.