Skip to main content

Hiburan

“Rezeki Allah Luas…” – Imej Dah Berubah, Shasha Abedul Pilih Watak Lebih Sesuai Dengan Jiwa, Nak Cuba Dunia Voice Acting

fsd

Pelakon muda, Shasha Abedul mengakui pemilihan watak yang diterimanya kini lebih berhati-hati dan bersesuaian dengan imejnya selepas mengambil keputusan untuk berhijab.

Menurut Shasha, sebelum ini dia sudah mula menapis setiap watak dan naskhah yang ditawarkan, namun selepas penghijrahan tersebut, dia lebih peka terhadap karakter yang ingin dibawakan.

Advertisement

“Daripada sebelum berhijrah lagi Shasha dah mula tapis watak apa yang sesuai dengan jiwa.

“Cuma bezanya sekarang, bila dah berhijab, watak yang dipilih tu mestilah seiring dengan imej,” katanya.

Tambah Shasha, dia tidak pernah berasa terbatas atau menyesal dengan perubahan itu, sebaliknya melihat ia sebagai fasa baharu untuk terus berkembang dalam kerjaya seni.

“Alhamdulillah, Shasha tak rasa tak puas hati. Shasha tahu kalau imej masih sama macam dulu, mungkin boleh teroka lebih banyak watak.

“Tapi sebelum ni pun Shasha dah cukup bersyukur dengan peluang yang datang. Sekarang ni cuma perlu ubah hala sedikit, rezeki Allah tu luas,” ujarnya.

Menariknya, Shasha turut mendedahkan bahawa dia kini berminat untuk mencuba bidang lakonan suara (voice acting) dan sudah pun menghadiri sesi uji bakat untuk filem animasi popular BoBoiBoy dua bulan lalu.

“Shasha jenis suka cuba benda baharu. Voice acting ni menarik minat Shasha sebab ia cabar diri untuk mainkan karakter tanpa guna ekspresi wajah.

“Kalau boleh, Shasha nak bawakan watak yang comel-comel, kecil dan ‘cheeky’ macam Vanellope von Schweetz dalam Wreck-It Ralph.

“Dulu pun Shasha suka tengok siri animasi Kacang, comel sangat!” tambahnya. 

Dalam pada itu, Shasha kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.

Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement