Skip to main content

Selebriti

Rezeki Jadi Juara, Ammar Siap Letak Syarat - “Saya Tak Nak Ada Unsur ‘Bias’ Langsung”

Ammar

Sekilas

  • Ammar Haikal, masuk program pencarian bakat XO Camp dengan niat untuk belajar dan menimba pengalaman.
  • Ammar akui pengalaman pentas besar membantu, tapi ramai peserta lain juga ada latar belakang kuat seperti busking dan uji bakat.
  • XO Camp dinilai oleh juri profesional dan Ammar membawa pulang hadiah utama RM12,121.

Penyanyi, Ammar Haikal mengulas mengenai kemenangannya sebagai juara program pencarian bakat baharu, XO Camp yang dikaitkan dengan statusnya sebagai bekas bintang program Talk To My Manager (TTMM).

Ammar atau nama sebenarnya Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin, 19, berkata tiada sebarang kesalahan untuk seseorang mencuba sesuatu yang baharu selagi niatnya adalah untuk menimba ilmu dan pengalaman.

“Sebenarnya semua orang boleh je nak cuba benda yang baharu contohnya pertandingan ini, tidak tertutup untuk mereka yang sudah bergelar artis.

“Jadi apa salahnya saya masuk. Saya masuk niat untuk belajar bukan untuk menang,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai kelebihannya yang pernah membuat persembahan di pentas besar sebelum ini, Ammar mengakui pengalaman tersebut sedikit sebanyak membantu, namun ia bukan penentu kejayaan.

Malah kata anak kepada penyanyi, Ameng Spring ini, ramai peserta lain mempunyai latar belakang pengalaman yang lebih luas termasuk pernah melakukan persembahan busking dan menyertai uji bakat di pelbagai platform.

“Itu adalah salah satu kelebihan tapi kita sebenarnya tidak tahu orang-orang yang tak pernah keluar dekat tv, tak pernah dapat peluang untuk beraksi di pentas yang besar ini sebenarnya mereka lagi hebat daripada kita.

“Ada orang pernah busking, ada yang pernah pergi uji bakat sana sini. Jadi mereka sudah tahu selok belok untuk buat benda ini.

“Bagi saya, itu adalah cabaran sebenarnya sebab saya nak kena compete dengan orang yang saya tak pernah tahu mereka ada pengalaman yang lagi jauj daripada saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ammar turut menegaskan bahawa penyertaannya dalam XO Camp dibuat tanpa sebarang kelebihan atau layanan istimewa.

“Sebenarnya sebelum saya dipelawa oleh XO House untuk pertandingan ini, saya dah cakap boleh nak masuk tapi saya tak nak ‘bias’ langsung. Sikit pun tak nak, kalau ada, saya memang tak nak masuk.

“Jadi kedua pihak bersetuju dan ada barisan juri profesional yang akan menilai, baru saya setuju,” jelasnya.

Untuk info, Ammar dinobatkan sebagai juara XO Camp Concert yang berlangsung pada Sabtu sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM12,121.

Selain Ammar, kumpulan XO Jr yang dianggotai empat remaja lelaki dinobatkan sebagai naib juara manakala peserta solo, Fariq pula meraih tempat ketiga.

Konsert XO Camp menampilkan 10 finalis dalam kalangan penyanyi solo, berkumpulan dan duet.

Kesemua peserta diberi tiga cabaran berbeza iaitu persembahan solo, duet bersama artis jemputan dan ‘battle’.

Antara artis popular yang diundang untuk berduet bersama finalis termasuklah Naim Daniel, Ismail Izzani, Iman Troye, Imran Ajmain, Aufahanie dan Zynakal.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement