Skip to main content

Selebriti

Rezeki Selepas Duka, Shuib Sahkan Watie Kini Hamil Lima Bulan - “Rasa Sangat Sayu Kerana Teringat…”

Shuib sahkan Watie hamil lima bulan

Sekilas

  • Watie Hanifiah, isteri pelawak Shuib, mengesahkan dirinya kini hamil lima bulan selepas beberapa minggu spekulasi.
  • Pasangan ini mengetahui kehamilan tersebut sejak awal dan memilih untuk merahsiakannya, termasuk daripada anak-anak dan keluarga.
  • Mereka masih belum mendedahkan jantina bayi dan bersyukur dengan rezeki kehamilan kali ini selepas pengalaman keguguran sebelum ini.

Pempengaruh dan isteri kepada pelawak Shuib, iaitu Watie Hanifiah, 36, akhirnya mengesahkan dirinya kini hamil lima bulan, sekali gus menamatkan spekulasi yang hangat diperkatakan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Shuib, 41, mereka sebenarnya mengetahui mengenai kehamilan itu sejak awal namun memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, seperti yang orang nampak dan ramai berteka-teki, isteri saya memang sudah hamil lima bulan.

“Masa mula-mula hamil anak pertama (yang kemudian keguguran), kami dapat tahu ketika berada di Madinah.

“Ketika itu saya rasa sangat sayu kerana teringat arwah Sarah yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.

“Jadi apabila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula, macam dejavu. Sayu dan takut sedikit. Namun kehamilan pertama itu bukan rezeki kami,”ujarnya.

Shuib berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Single sulung Amad Dayyan bertempat di Qeqoz Gifts & Cafe pada Selasa.

Syukur apabila usaha mendapatkan cahaya mata itu akhirnya dimakbulkan, Shuib berkata tidak ramai yang mengetahui mengenai kehamilan itu pada peringkat awal, termasuk anak-anak dan ahli keluarga.

Malah kata Shuib, antara detik paling manis ialah ketika dia memilih malam final program Talk To My Manager (TTMM) untuk memaklumkan berita gembira itu dengan anak perempuannya, Talitha.

“Untuk yang kedua ini memang kami rancang. Alhamdulillah, lekat. Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan betul-betul kerana sebelum ini dia kuat bekerja.

“Mengenai kehamilan Watie, saya beritahu Talitha dalam bilik persalinan sebelum dia membuat persembahan.

“Sebab itu dia kelihatan sangat berseri di atas pentas, sebab dia tahu mummy dia hamil,” katanya.

Selesai persembahan, pasangan itu turut merakam video khas bagi memaklumkan berita gembira tersebut kepada anak-anak yang lain.

Bagaimanapun, Shuib dan Watie masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi dalam kandungan.

Ditanya mengenai pilihan jantina, Watie berkata Shuib pada awalnya berharap mendapat anak lelaki agar Talitha kekal menjadi satu-satunya anak perempuan, namun reda dan gembira menerima apa sahaja rezeki.

“Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai,” katanya.

Sebelum ini, Watie berkongsi berita duka apabila dia mengalamai keguguran ketika hamil anak pertamanya.

Sekadar rekod, pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.

Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.

Must-Watch Video

Advertisement