Ringkasan AI
- Ridzuan Ridzokumura berkongsi rasa rindu terhadap makanan yang dimasak oleh arwah isterinya, Akiko Okumura.
- Video makanan yang dimuat naik di TikTok itu adalah kenangan indah dari empat tahun lalu.
- Ridzuan menyifatkan hidangan tersebut penuh dengan kasih sayang dan kelembutan hati Akiko.
- Dia sentiasa mendoakan agar roh arwah isterinya ditempatkan di syurga Firdausi.
- Akiko meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat kondominium di Subang Jaya pada Februari tahun lalu.
Usahawan dan selebriti media sosial, Ridzuan Ridzokumura mengakui dirinya rindu akan makanan yang dimasak isteri, Allahyarhamah Akiko Okumura.
Menerusi TikTok, Ridzo atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib dilihat memuat naik video makanan yang disediakan arwah isterinya empat tahun yang lalu.
Ujar Ridzo, meski sudah empat tahun berlalu namun video itu menjadi satu kenangan yang cukup indah buatnya.
“Kenangan terindah. Pada hari ini empat tahun yang lalu, arwah Akiko telah menyediakan roti dan hidangan minum petang dengan penuh kasih dan keikhlasan untuk saya dan Sky.”
“Itulah kenangan yang sarat dengan cinta dan kelembutan hatinya,” luah Ridzo.
Di akhir perkongsian, Ridzo memaklumkan bahawa dirinya tidak pernah terlepas dari berdoa agar roh arwah isterinya tenang dan dicucuri rahmat.
“Setiap hari, setiap minit, setiap detik, saya tidak pernah berhenti mendoakan arwah Akiko. Semoga roh insan yang begitu istimewa ini ditempatkan di syurga Firdausi yang paling indah dan tinggi.”
“Dia bukan sekadar seorang yang saya sayang, tetapi sebahagian daripada jiwa saya dan Sky selamanya,” kongsi Ridzo.
Pada 28 Februari tahun lalu, hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Akiko yang disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko pada Februari 2009 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Sky Taizo Okumura.
Sumber: TikTok Ridzokumura