Sekilas
- Riezman Khuzaimi menepis stigma negatif terhadap golongan 'mat rempit' dengan menegaskan mereka juga berpotensi berjaya dan ada yang berpendidikan tinggi.
- Pelakon ini berkongsi bahawa minat terhadap motosikal hanyalah hobi dan tidak wajar dijadikan alasan untuk memandang rendah kepada mereka yang terlibat.
- Riezman akan muncul dalam filem Malaikat Malam yang akan ditayangkan pada 26 Mac, bersama barisan pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol.
Pelakon, Riezman Khuzaimi menepis stigma segelintir pihak yang beranggapan golongan meminati dunia permotoran atau digelar ‘mat rempit’ sebagai individu yang tidak mempunyai masa depan.
Menurut Riezman, minat seseorang yang mendalam terhadap dunia permotoran itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai kayu ukur kerana meraka juga mempunyai potensi untuk berjaya.
Malah, ada juga yang mempunyai latar belakangkan pendidikan bagus yang turut meminati dunia permotoran.
"Mat rempit, mereka ini sebenarnya golongan yang mempunyai jiwa kelajuan dan minat yang sangat kuat terhadap motosikal dua roda.
"Saya waktu muda juga sangat minat dan sertai kumpulan mat motor. Sebenarnya dalam kalangan mereka ada yang bagus dan berpelajaran.
"Istilah “rempit” itu sebenarnya diberikan oleh masyarakat. Hakikatnya mereka hanyalah budak-budak yang minat motosikal.
"Zaman sekarang, saya percaya ada dalam kalangan budak motor yang menjadi doktor, peguam, tapi mereka mungkin pernah melalui fasa mat rempit,” katanya kepada Gempak.
Riezman berkongsi perkara tersebjt ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersempena pelancaran filem Malaikat Malam yang berlangsung di Kingstone 10 Hotel, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Baik Punya Cilok ini beranggapan minat seseorang terhadap dunia permotoran hanyalah sekadar satu hobi dan tidak wajar dipandang rendah oleh mana-mana pihak.
Tambah Riezman, minat terhadap motosikal bagi kebanyakan individu hanyalah sekadar hobi dan masyarkat tidak wajar menjadikan itu alasan untuk memandang rendah terhadap mereka.
"Bagi mereka, motosikal mungkin sekadar hobi atau minat. Tidak boleh melabel mat rempit ini sebagai gelap masa depan. Ramai sebenarnya yang berjaya. Malah sekarang pun ramai bekas mat rempit yang sudah berniaga.
"Saya sendiri dari muda sehingga sekarang masih aktif dan minat dengan motosikal. Sampai hari ini saya masih menunggang motosikal hampir setiap hari kerana ia juga sudah menjadi satu keperluan,” katanya lagi.
Tambah Riezman yang sebelum ini pernah aktif dengan dunia permotoran di zaman muda, dia pernah berhabis ribuan ringgit hanya semata untuk mencantikkan motosikal miliknya.
"Biasanya orang yang minat motosikal ini akan suka mengubah suai atau mencantikkan motor mereka. Itu perkara biasa.
"Jarang ada yang membeli motor dan membiarkannya dalam keadaan standard. Kebiasaannya mereka akan ubah suai sedikit sebanyak.
"Saya sendiri dulu banyak berhabis duit untuk mencantikkan motosikal. Pada zaman dahulu pun boleh dikatakan beribu juga wang dibelanjakan.
"Selalunya perkara pertama yang dibuat ialah menukar satu set bahagian motosikal, contohnya set merah. Kadang-kadang kita cuba elakkan daripada menggunakan set merah, tetapi akhirnya tetap juga kena tukar,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Riezman bakal tampil menerusi filem Malaikat Malam yang merupakan terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios dan bakal menemui penonton di pawagam 26 Mac ini.
Selain Riezman, filem yang mendapat sentuhan pengarah baharu, Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Que Haidar, Amir Nafis, Kodi Rasheed dan ramai lagi.