Skip to main content

Berita Tempatan

Rindu Tak Pernah Hilang, Hadie Elfardie Mimpikan Arwah Suhaimi Saad - "Dia Datang Hulur Sejadah, Pesannya..."

Rindu Tak Pernah Hilang, Hadie Elfardie Mimpikan Arwah Suhaimi Saad - "Dia Datang Hulur Sejadah, Pesannya..."

Sekilas

  • Hadie Elfardie berkongsi pengalaman mimpi bertemu arwah bapanya, Allahyarham Suhaimi Saad, selepas menziarahi pusaranya di Johor.
  • Hadie meluahkan cabaran menghayati lagu single terbarunya, ‘Dusta Sebuah Cinta’, yang mengambil masa hampir lima bulan untuk dikuasai sepenuhnya.
  • Selain seni, Hadie juga bekerja sebagai pemandu pelancong dan sedang mempertimbangkan untuk sambung belajar dalam bidang kulinari.
Advertisement

Bintang Talk To My Manager musim pertama, Hadie Elfardie mengakui pernah beberapa kali mimpikan arwah bapanya, penyanyi nasyid Allahyarham Suhaimi Saad.

Terbaharu, Hadie, 18, memberitahu dia 'didatangi' arwah bapanya selepas pulang daripada menziarahi pusara insan tersayang itu di Johor.

Advertisement

“Saya singgah di kubur, bercerita dan mendoakan arwah. Kemudian saya terlepas cakap satu perkara kepada ayah.

“Saya kata, kalau Allah izinkan dan ayah nak datang, datanglah dalam mimpi. Jangan datang depan depan, takut saya terkejut pula.

“Kalau ayah nak datang atau nak tegur saya, datanglah dalam mimpi,” katanya kepada Gempak.

Hadie berkata, selepas selesai menziarahi pusara bapanya, angin tiba tiba bertiup kuat meskipun keadaan sebelum itu berbahang panas.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut dan menganggapnya sebagai satu kebetulan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Setibanya di rumah dalam keadaan keletihan, Hadie memberitahu dia terlewat menunaikan solat Asar sebelum tertidur.

Advertisement

Tanpa disangka, dia kemudian bermimpi tentang bapanya.

“Tiba tiba saya bermimpi tentang ayah. Dia tak cakap banyak. Saya tak nampak wajahnya dengan jelas, tetapi saya tahu itu ayah. Saya dengar suaranya.

“Dalam mimpi itu, dia beri saya sejadah dan cakap, ‘Pergi solat.’

“Selepas itu saya terus terbangun. Saya terkejut juga sebab dalam mimpi tadi dia beri saya sejadah.

“Mungkin dia nak ingatkan saya yang ketika itu saya belum menunaikan solat Asar. Saya terus bangun, istighfar, pergi cuci muka dan bersiap.

“Itu antara mimpi yang paling jelas buat saya. Saya tahu itu ayah saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, kerinduan terhadap Allahyarham turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Hadie ketika membina kerjaya seni sendiri.

Hadie yang kini tampil dengan single ‘Dusta Sebuah Cinta’ mengakui mengambil masa hampir lima bulan untuk benar benar memahami dan menghayati lagu tersebut.

Menurut Hadie, lagu ciptaan Jaja Ishak dengan lirik hasil tulisan Jaja bersama Herman Shah itu mengangkat kisah hubungan yang tidak seimbang apabila hanya satu pihak berusaha mempertahankan cinta.

“Lagu ini mengenai satu hubungan yang sepatutnya sama sama menjaga, tetapi akhirnya hanya seorang saja yang berusaha. Tak kisahlah lelaki atau perempuan. Ia mengenai kisah cinta yang tidak kesampaian.

“Saya orang pertama yang kena nyanyikan lagu ini. Jadi, nak dapatkan melodi, hafal lirik dan masuk dalam karakter lagu itu memang susah bagi saya.

“Saya ambil masa lebih kurang lima bulan untuk betul betul dapatkan lagu ini dan sampaikan ceritanya,” katanya.

Hadie tidak menafikan tempoh tersebut turut dipengaruhi rasa kurang yakin memandangkan dia masih baharu dalam industri muzik.

Jika sebelum ini ada individu yang membimbingnya mengenai tempo dan lenggok nyanyian, kali ini dia perlu belajar untuk lebih berdikari.

“Lima bulan itu memang ada rasa kurang yakin dan tak berani. Sebelum ini ada orang yang ‘guide’, dari segi tempo dan lenggok pun ada orang jaga.

“Sekarang banyak perkara saya kena buat sendiri. Memang ada rasa ragu ragu dan takut. Tapi Alhamdulillah, ada mak saya dan Jaja Ishak yang boleh ‘guide’ sedikit,” ujarnya.

Malah, Hadie turut mendapatkan pandangan ibunya mengenai cara Allahyarham Suhaimi mendalami sesebuah karya ketika masih aktif sebagai penyanyi.

“Saya ada tanya ibu, kalau ayah dulu macam mana dia nak dapatkan sesebuah lagu?

“Ibu banyak ingatkan saya supaya banyak dengar lagu sendiri supaya boleh dapat dan kenal lagu itu,” katanya.

Selain itu, Hadie turut memerhatikan cara Allahyarham membawakan lagu lagunya sebagai salah satu rujukan dalam mencari identiti sendiri.

“Arwah ayah melalui perjalanan daripada berkumpulan sehinggalah bergerak solo. Saya banyak hayati cara pembawaan lagu lagunya.

“Saya juga banyak bercerita. Kadang kadang bila pergi ke kubur, saya bercerita tentang hidup tanpa dia. Alhamdulillah, semuanya baik baik,” katanya.

Bercakap mengenai persiapannya sebagai penyanyi, Hadie memberitahu dia mengamalkan perkara asas seperti menjaga pemakanan, mendapatkan rehat secukupnya dan cuba memahami karakter sesebuah lagu.

“Saya ikut cara latihan, jaga pemakanan dan cuba menghayati lagu. Tak ada rahsia sangat, perkara asas yang artis lain pun buat seperti kurangkan ais, makanan berminyak dan banyak berehat supaya suara terjaga,” jelasnya.

Dalam masa sama, Hadie berharap kemunculan ‘Dusta Sebuah Cinta’ dapat membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

“Saya risau juga sebab cuba buat benda baharu, tetapi saya kena teruskan. Kalau ikutkan memang risau kalau makin lama makin tenggelam.

“Dengan adanya single ini, saya harap ia boleh menaikkan semula nama saya.

“Saya belum rasa lega selagi belum sampai sasaran dan belum cukup dikenali. Tetapi perasaan seronok itu memang ada sebab sekarang saya sudah ada single sendiri,” katanya.

 Tidak hanya memberi tumpuan kepada bidang seni, Hadie turut melakukan kerja sambilan sebagai pemandu pelancong berdasarkan latar belakang pengajiannya dalam bidang pelancongan ketika di kolej.

Dia juga sedang mempertimbangkan untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari selepas berbincang mengenai perkara tersebut bersama ibunya, Ina Naim.

 

Anda mungkin berminat dengan

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB584

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB584

BLANK PERFUME CAR FRESHENER 🔥ORIGINAL🔥 READY STOCK Manees Car Perfume QISH PARFUM QIS

BLANK PERFUME CAR FRESHENER 🔥ORIGINAL🔥 READY STOCK Manees Car Perfume QISH PARFUM QIS

Eucerin Hyaluron Radiance-Lift Filler 3D Serum 30ml

Eucerin Hyaluron Radiance-Lift Filler 3D Serum 30ml

TIMAGE 3-Color Blush Palette

TIMAGE 3-Color Blush Palette

【NEW Launch】Glad2Glow FLAWLESS BLURRING SKIN TINT Tinted Moisturizer 12h Long-Lasting

【NEW Launch】Glad2Glow FLAWLESS BLURRING SKIN TINT Tinted Moisturizer 12h Long-Lasting

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

Must Watch Video

Advertisement