Sekilas
- Filem Malaikat Malam mengisahkan Azam, seorang pelumba jalanan yang berjuang membantu abangnya pulih dari dadah sambil menghadapi pelbagai cabaran hidup.
- Filem ini menampilkan elemen kekeluargaan dan pengorbanan yang dekat di hati penonton serta membawa mesej positif di sebalik dunia rempit.
- Pelakon utama Syafiq Kyle membawa transformasi berani sebagai Azam, dengan barisan pelakon mantap lain yang menambah dimensi cerita, dan tiket sudah boleh didapati di pawagam seluruh Malaysia.
Filem terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primework bukan sahaja mengangkat kisah dunia rempit, sebaliknya turut menggambarkan realiti kehidupan generasi masa kini yang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.
Filem ini mengisahkan Azam (Syafiq Kyle) yang sanggup berdepan dengan pelbagai risiko kehidupan demi memastikan abangnya, Arash (Que Haidar) kembali pulih dari najis dadah.
Watak Azam ini juga sedikit sebanyak mewakili ramai anak muda di luar sana yang terpaksa menggalas tanggungjawab keluarga di kala usia mereka yang masih muda.
Elemen kekeluargaan dan pengorbanan itu juga secara tidak langsung dekat di hati penonton kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan realiti kehidupan masyarakat.
Janganlah dinilai pada elemen rempit semata tetapi nilailah juga elemen positif dan pengajaran yang cuba dibawakan pengarah dan penerbit menerusi filem Malaikat Malam ini.
Sekadar info, Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini.
Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan.
Tiket filem Malaikat Malam sudah boleh didapatkan di seluruh pawagam berdekatan anda bermula hari ini. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios.