Skip to main content

Hiburan

“Saya Agak Terasa Hati…” - Kalahkan Adam Lee, Alif Muhaimin Tutup Mulut Orang Mengata Tak Hebat Atas Gelanggang Muay Thai

alif Muhaimin

Sekilas

  • Alif Muhaimin berjaya menewaskan aktor Adam Lee dalam perlawanan Fury Redemption walaupun ramai rakan termasuk sahabat baiknya memandang rendah kebolehannya.
  • Alif mendapat sokongan moral kuat daripada isterinya sepanjang persiapan dan menganggap kemenangan itu sebagai bukti keupayaannya.
  • Penglibatan Alif dalam Muay Thai bermula secara tidak sengaja dan dia berharap pengalaman ini membuka peluang dalam lakonan aksi.

Pelakon Alif Muhaimin mendedahkan ramai rakan termasuk kawan baiknya sendiri yang memandang rendah terhadap kemampuannya untuk menewaskan aktor Adam Lee dalam perlawanan Fury Redemption yang berlangsung Ahad lalu.


 

Alif atau Alif Muhaimin Abdul Rahman, 31, berkata kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan atas gelanggang, sebaliknya ia menjadi bukti keupayaannya yang sering dipandang rendah oleh orang sekeliling.


 

"Dapat menewaskan Adam adalah satu pencapaian besar buat diri saya. Tetapi secara jujurnya, saya agak terasa hati dengan beberapa rakan termasuk sahabat baik sendiri.


 

"Mereka tanya betul ke saya boleh lawan Adam. Nada mereka macam tidak percaya dengan kebolehan saya,” katanya kepada Gempak.


 

Bagaimanapun, juara Hero Remaja 2017/2018 itu meluahkan rasa syukur kerana isterinya menjadi tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan moral sepanjang tempoh persiapan sehingga perlawanan.


 

"Isteri adalah insan yang sentiasa bersama saya. Dialah yang beri kata-kata positif dan percaya saya mampu buat yang terbaik.


 

"Saya tidak simpan dalam hati kata-kata kawan sebab akhirnya saya berjaya buktikan mereka salah. Saya menang,” ujarnya.


 

Berkongsi perjalanan awalnya dalam dunia Muay Thai, Alif memberitahu penglibatannya bermula secara tidak sengaja hasil pengaruh abang iparnya yang aktif dalam sukan tersebut.


 

"Saya masuk sukan ini secara tak dirancang. Abang ipar saya main Muay Thai dan ada gelanggang sendiri. Dia ajak berlatih dan lama-kelamaan saya jadi minat.


 

"Sebelum ini saya pernah sertai beberapa pertandingan. Apabila dapat undangan untuk sertai Fury Redemption dan berlawan dengan Adam Lee, saya terus terima cabaran itu.


 

"Masa dapat panggilan untuk Fury Redemption, berat saya 64 kilogram dan saya perlu naikkan sehingga 71 kilogram. Itu antara cabaran besar dalam persiapan saya,” katanya.


 

Dalam pada itu, Alif tidak menafikan penglibatannya dalam Muay Thai turut didorong oleh impian untuk melebarkan sayap dalam genre lakonan aksi.


 

"Tujuan saya ceburi sukan ini adalah untuk tembus ke filem aksi. Ada sesetengah produksi tidak percaya jika pelakon itu tidak mempunyai seni mempertahankan diri seperti silat, taekwondo atau Muay Thai.


 

"Dengan penyertaan dalam Fury Redemption ini, saya harap dapat buka mata lebih ramai pengarah untuk ambil saya dan Adam berlakon dalam naskhah aksi,” ujarnya.

Must-Watch Video

Advertisement