Sekilas
- Pelakon Shukri Yahaya memohon maaf selepas gambar menunjukkan jari tengah bersama rakan-rakan menjadi tular di media sosial.
- Shukri menjelaskan gambar itu diambil bersama kawan rapat dalam satu projek dan tidak menganggapnya serius sebelum ia dikongsi.
- Beliau telah memadam gambar tersebut dan berharap isteri, Tya Adnan, tidak dikaitkan dengan kontroversi itu.
Pelakon Shukri Yahaya mengakui kesilapannya selepas gambar yang memperlihatkan dirinya menunjukkan jari tengah bersama rakan-rakan menjadi perhatian di media sosial.
Menurut Shukri, gambar tersebut diambil ketika dia bersama rakan-rakan rapat yang sudah lama tidak berjumpa selepas mereka dipertemukan dalam satu projek.
“Sebenarnya gambar itu diambil bersama kawan-kawan yang rapat, yang lama tak jumpa, dan kami berjumpa dalam satu projek yang sama.
“Jadi kami ambillah gambar dengan kawan-kawan. Bila kawan saya tanya, boleh ke post… saya okay saja. Sebab saya tak anggap benda itu serius,” katanya kepada Gempak.
Shukri berkongsi perkara itu ketika ditemui di malam gala filem CHELOT, yang diadakan di GSC Cinema, IOI City Mall, Putrajaya, pada Selasa.
Bagaimanapun, Shukri mengakui perbuatannya itu merupakan satu kesalahan dan memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa dengan tindakannya.
“Itu memang kesalahan saya. Saya akui itu kesalahan saya, saya minta maaf. Media sosial saya ini, saya percaya followers saya adalah orang yang sudah besar dan boleh berfikir mana satu baik dan mana satu buruk.
“Maknanya bukan budak-budak, sebab budak-budak tak boleh main media sosial kan? Jadi kenapa benda ini harus dibesarkan seperti kata, ‘oh takut anak-anak terikut’?
“Sedangkan kita yang dewasa ini sepatutnya tidak membenarkan kanak-kanak menggunakan media sosial sebab mereka masih kecil,” ujarnya.
Diminta untuk mengulas mengenai tindakan netizen mengaitkan imej muslimah isterinya, Shukri berharap Tya Adnan tidak diheret sama kerana wanita itu tiada kaitan dengan perkara berkenaan.
“Saya tak pernah campur adukkan kehidupan peribadi dengan kerja atau media sosial. Macam saya cakap, itu adalah posting kawan-kawan. Yes, saya salah dan saya pun tak ambil serius bila kawan itu nak post.
“Dia kata, ‘Eh bro, aku post eh?’ Saya jawab, ‘Post je lah.’ Jadi saya anggap benda itu macam… tak apalah, kawan-kawan. Tak ada apa pun yang orang kata boleh merosakkan akhlak orang.
“Daripada merisaukan akhlak budak-budak kecil, anak-anak itu, baik risaukan apa yang mereka tonton dan main. Ibu bapa perlulah mengawal penggunaan media sosial anak-anak,” katanya.
Shukri berkata dia bagaimanapun mengambil tindakan segera selepas menyedari perkara tersebut menjadi perhatian ramai dengan memadam gambar berkenaan.
“Saya dah melakukan apa yang patut dan bagi feedback yang cepat, benda ini salah, saya minta Andy Teh untuk padam’. Tapi dia (netizen) tetap teruskan.
“Okeylah, saya okey saja. Untuk mana-mana yang terasa, saya minta maaf. Itu kesalahan saya dan anggap sajalah itu AI. Andy pun dah buat AI jadikan saya buat ‘peace’,” ujarnya.