Sekilas
- Watie Hanifiah menafikan dakwaan bahawa dia dan Shuib sudah menjalinkan hubungan ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup dan menjelaskan mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain pada waktu itu.
- Watie berkongsi bukti untuk menyangkal dakwaan termasuk video dan foto serta menafikan hubungan suaminya dengan individu bernama Eddy Kana.
- Dia menyeru orang ramai supaya tidak hanya memandang dirinya dan Shuib, tetapi juga mengambil kira perasaan anak-anak yang terkesan dengan dakwaan tersebut.
Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, Watie Hanifiah tampil mempertahankan diri selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa dia dan suaminya sudah menjalinkan hubungan ketika Allahyarham Siti Sarah Raissuddin masih hidup.
Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 37, menafikan dakwaan tersebut selain menjelaskan mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain pada waktu berkenaan.
Menerusi Instagram, Watie berkata dia selama ini memilih untuk berdiam diri terhadap pelbagai tohmahan, namun mengambil keputusan bersuara selepas perkara tersebut mula melibatkan anak-anak serta Allahyarham ibu mereka.
“Jarang berkata-kata tapi kini sudah tiba masa.
“Setelah hampir empat tahun berumah tangga, empat tahun menyimpan segala rasa, saya rasa sudah tiba masanya untuk mempertahankan diri.
“Kerana saat ini bukan lagi tentang saya seorang tetapi melibatkan harta dunia akhirat saya, anak-anak,” tulisnya.
Menurut Watie, dia sebelum ini menerima segala hinaan tanpa membalas kerana sedar dirinya juga mempunyai kekurangan dan sejarah silam sendiri.
Bagaimanapun, selepas berkeluarga dan memikul tanggungjawab sebagai ibu, dia tidak lagi sanggup berdiam diri apabila perkara tersebut memberi kesan kepada anak-anak.
“Kini saya tidak mampu lagi menjadi insan yang hanya berdiam diri bila melibatkan perasaan anak-anak saya dan juga melibatkan arwah ibu kepada anak-anak saya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Watie secara tegas menafikan pernah mengenali Shuib ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup.
“Kebenaran yang ingin saya katakan adalah saya dan suami tidak pernah mengenali antara satu sama lain sejak arwah masih hidup,” katanya.
Dia turut menafikan dakwaan berkaitan sebuah video lama sekitar 2019 yang dikatakan memaparkan dirinya bermain golf dengan suara seorang lelaki di latar belakang yang didakwa sebagai Shuib.
Bagi menyangkal dakwaan tersebut, Watie turut berkongsi beberapa foto dan video yang menurutnya menunjukkan individu lain yang berada bersama ketika rakaman itu dibuat.
Watie turut menjelaskan Shuib tidak pernah mengenali seorang individu dikenali sebagai Eddy Kana meskipun nama mereka sebelum ini pernah dikaitkan dalam isu sama.
“Selepas saya mengenali suami, saya sendiri pernah bertanya kepada Eddy Kana sama ada dia mengenali suami saya secara peribadi.
“Daripada mulutnya sendiri, dia mengatakan tidak pernah mengenali dan tidak ada apa-apa hubungan bisnes dengan suami saya,” dakwanya.
Tambah Watie, dia tidak melihat tindakannya berkongsi bukti sebagai usaha menunjukkan dirinya lebih baik, sebaliknya berharap segala dakwaan mengenai hubungan mereka dapat dihentikan.
“Dengan memberi bukti ini bukan bermakna menunjukkan saya orang lebih baik atau suci.
“Tetapi saya mengharapkan semoga selepas ini segalanya akan terhenti di sini,” katanya.
Mengakhiri luahan, Watie meminta orang ramai tidak hanya melihat dirinya dan Shuib, sebaliknya turut memikirkan perasaan anak-anak yang terkesan dengan dakwaan tersebut.
“Janganlah hanya memandang saya atau suami sahaja, tapi pandanglah anak-anak saya juga,” katanya.