Sekilas
- Zaki Yamani mengesahkan hubungannya dengan abang, Osama Yamani, dalam keadaan baik selepas salah faham mereka berjaya diselesaikan melalui perbualan WhatsApp.
- Zaki menegaskan perbandingan antara mereka dan ayah mereka, Datuk Jamal Abdillah, tidak menjejaskan hubungan adik-beradik mereka.
- Zaki juga menjelaskan cadangannya agar Osama memanfaatkan peluang menghasilkan kandungan bersama ayah mereka bukan bermaksud bergantung sepenuhnya, tetapi sebagai cara untuk mengukuhkan nama dalam industri seni.
Penyanyi, Zaki Yamani mengesahkan hubungannya dengan abang yang juga penyanyi, Osama Yamani, dalam keadaan yang baik dan salah faham yang tercetus antara mereka sebelum ini berjaya diselesaikan.
Menurut Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, dia dan Yamani sudah berhubung menerusi WhatsApp bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Dia tahu yang sebenarnya apa saya cakap mengenai dia semuanya positif. Tak ada yang negatif pun. Selepas dia memuat naik di Threads, dia ada WhatsApp saya.
“Dia katakan sebenarnya, dia salah faham dalam situasi itu. Sebagai adik, saya takkanlah nak patuk abang saya sendiri. Kalau boleh, saya nak dia berjaya juga. Saya hanya menasihatkan dia saja.
“Kemudian kami gelak dan dia pun ada beritahu mengenai perkembangan dia dan kami okey sahaja,” katanya kepada Gempak.
Zaki berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas dakwaan abangnya berkecil hati kerana sering dibandingkan dengannya, Zaki menegaskan perkara itu tidak sepatutnya menjejaskan hubungan mereka sebagai adik-beradik.
“Saya ini tiada apa ancaman untuk dia sebab saya pun dibandingkan dengan ayah saya. Jadi dia pun dibandingkan dengan ayah kami juga.
“Jadi saya rasa benda itu tak mengugut hubungan kami berdua sebab kami pun adik beradik. Sampai hujung dunia pun, kami tetap adik beradik juga. Bukan orang luar dan bukan orang yang kita tak kenal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zaki memahami hasrat Osama untuk membina kerjaya seni dengan identiti sendiri tanpa terlalu dibayangi nama besar bapa mereka, penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Jelasnya, dia sendiri melalui cabaran serupa dalam usaha mencari identiti sebagai penyanyi, namun perkara itu tidak pernah menghalangnya daripada terus menyokong perjalanan seni abangnya.
“Sama macam saya, saya pun cari identiti sendiri. Kami berdua sama-sama mencari identiti sebab nama ayah kami pun nama besar. Tapi apa-apa pun saya tetap sokong dia,” katanya.
Sementara itu, Zaki menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai Osama yang boleh mengambil peluang menghasilkan kandungan bersama Jamal bukan bermaksud abangnya perlu bergantung kepada bapa mereka untuk membina nama.
Sebaliknya, dia hanya mencadangkan Osama memanfaatkan peluang yang ada untuk menghasilkan kandungan menarik, memandangkan mereka mempunyai akses untuk meluangkan masa bersama Jamal.
“Apa yang saya baca menerusi luahan dia di Threads, mungkin dia marah dengan saya atau dia tak baca betul mengenai artikel yang dikeluarkan sebelum ini. Saya nampak yang dia kata dia nak cari identiti sendiri semua, samalah macam saya juga.
“Tapi macam saya kata, dalam artikel itu saya beritahu guna ayah itu bukan guna semua seluruh kerjaya ayah saya. Maksud saya, saya ini tak duduk sekali dengan ayah saya, tapi saya banyak buat content, saya kadang-kadang ada kacau ayah saya.
“Saya bila saya nampak peluang, saya akan gunakan. Jadi, itu yang maksud saya mengenai abang saya. Abang saya dia ada advantage juga sebab dia pun duduk sekali dengan ayah saya. Jadi kalau bosan, bolehlah ajak ayah saya buat content, buatlah lawak-lawak.
“Dia tak semestinya menggunakan ayah saya, buat content saja untuk menghiburkan audiens. Itu sahaja. Itu maksud saya,” katanya.
Terdahulu, Zaki menjelaskan bahawa hubungannya dengan Yamani dalam keadaan yang baik dan salah faham tersebjt telah diselesaikan selepas abangnya menghubunginya secara peribadi.
Salah faham tersebut mula timbul selepas Zaki berharap Osama lebih rajin memanfaatkan peluang dengan menghasilkan lebih banyak kandungan digital bagi mengukuhkan nama dalam bidang seni.
Dia bahkan sering menitipkan pesanan kepada Osama supaya tidak melepaskan peluang sekiranya berkesempatan menghasilkan kandungan bersama Jamal.
Perkara itu bagaimanapun dipercayai mencetuskan salah faham apabila Osama memuat naik hantaran Threads yang menegaskan mahu membina nama sendiri dan enggan dibayangi atau dikenali disebabkan bapa mereka.