Sekilas
- Syamel melancarkan album sulung bertajuk PERTAMA yang mengandungi enam lagu dengan tema kehilangan, kerinduan, harapan, dan keberanian untuk memulakan semula.
- Album ini menandakan fasa baharu dalam kerjaya seni Syamel selepas hampir 10 tahun dalam industri dan disusun seperti sebuah buku dengan setiap lagu membawa cerita dan emosi tersendiri.
- Syamel turut terlibat dalam penulisan dan penciptaan beberapa lagu serta bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal untuk memastikan album ini mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan.
Selepas hampir sedekad mengukuhkan nama dalam industri hiburan, penyanyi Syamel akhirnya mempertaruhkan album sulung berjudul PERTAMA yang menghimpunkan enam lagu sarat dengan kisah kehilangan, kerinduan, harapan dan keberanian untuk memulakan semula.
Album yang menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya itu turut menjadi simbolik kepada segala pengalaman yang dilalui sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.
Menurut Syamel, dia sengaja mengambil masa sebelum menghasilkan album penuh kerana mahu memastikan setiap karya yang dipersembahkan lahir daripada pengalaman dan kejujuran dirinya sendiri.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” kata Syamel.
Jelas penyanyi itu, judul PERTAMA bukan sekadar merujuk kepada album sulungnya, malah membawa makna keberanian untuk bangkit selepas melalui kegagalan, kehilangan atau kekecewaan.
Dalam masa sama, album tersebut juga menjadi tanda penghargaan buat peminat yang terus setia menyokong perjalanan seninya sejak sedekad lalu.
Menariknya, PERTAMA disusun seperti sebuah buku yang mempunyai enam bab, dengan setiap lagu membawa cerita, warna dan emosi tersendiri sebelum melengkapkan satu perjalanan apabila didengarkan mengikut susunan trek.
Bagi merealisasikan visi tersebut, Syamel bekerjasama dengan Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.
Malah, Syamel turut terbabit dalam penulisan dan penciptaan lagu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia bagi memastikan identiti album itu kekal dekat dengan dirinya.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya.
Walaupun sebahagian lagu diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya, Syamel berkata album tersebut turut menyerap kisah serta emosi insan di sekelilingnya.
Menurutnya, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan merupakan emosi yang bersifat universal, sekali gus memberi ruang kepada pendengar untuk mentafsir setiap lagu berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.
“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.