Sekilas
- Nur Nilam Ortiz menegaskan bantuan yang diberi adalah ikhlas tanpa mengharapkan publisiti atau keuntungan peribadi.
- Beliau pernah membantu pelakon Puteri Balqis dan Datuk Seri Adnan Abu Bakar secara senyap serta menanggung kos pencarian pelakon Nadia Kesuma di Jeddah.
- Nilam juga aktif dalam sumbangan kemanusiaan kepada mangsa konflik Palestin dan komuniti di Indonesia secara tertutup.
Pelakon dan usahawan Nur Nilam Ortiz kekal dengan prinsip menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan dengan ikhlas tanpa meminta publisiti.
Jelas Nilam, walaupun kenyataannya sebelum ini disalah tafsir sebagai angkuh atau riak oleh segelintir pihak, dia tidak punyai sebarang agenda tersembunyi di sebalik setiap bentuk bantuan yang dihulurkan, sama ada kepada selebriti mahupun individu biasa yang memerlukan.
"Saya membantu kerana saya mampu. Bukan kerana nama, status atau apa yang boleh saya peroleh daripada sesiapa," tegasnya.
Nilam turut menolak budaya 'menunggang isu' atau meminjam pengaruh orang lain demi kepentingan peribadi. Baginya, pertolongan yang bersyarat bukanlah pertolongan sebenar, sebaliknya hanyalah transaksi yang diselindungi niat baik.
Kenyataannya sebelum ini di platform Threads, berhubung kes melibatkan pelakon muda Puteri Balqis, menarik perhatian ramai apabila Nilam menyatakan kesediaan untuk menanggung sepenuhnya kos guaman sekiranya tindakan saman benar-benar berlaku.
“Orang yang banyak luka selalunya berani bersuara kerana terlalu lama diam. Dari apa yang saya lihat, Puteri Balqis adalah anak yang baik. Bila melibatkan maruah dan kebenaran, perkara itu wajar dipertahankan,” tambahnya.
Nilam turut menyeru agar ruang dan ketenangan diberikan kepada Puteri Balqis dan ibunya tanpa tekanan atau gangguan tidak perlu.
Sebelum ini, Nilam juga pernah tampil membantu Datuk Seri Adnan Abu Bakar (Dato’ Red) dengan melunaskan tunggakan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkan beliau menunaikan umrah.
“Saya tidak memilih lingkaran pergaulan berdasarkan nama besar. Saya selesa dengan hubungan yang jujur dan tidak bersyarat,” jelas Nilam lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, penglibatan Nilam dalam usaha mencari pelakon Nadia Kesuma, yang dilaporkan meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 15 Januari lalu, turut didedahkan oleh seorang instafamous, Jalil Razak, yang berada di lokasi ketika itu.
Menurut Jalil, pencarian tersebut dilakukan atas arahan Nilam sebaik sahaja Nadia dilaporkan hilang, dengan peruntukan kos mencecah belasan ribu ringgit.
“Puan Nilam seorang yang tidak sanggup melihat orang lain dalam kesusahan. Banyak kebajikan yang beliau lakukan tanpa pengetahuan umum. Tuduhan bahawa beliau menunggang isu viral adalah tidak berasas,” ujar Jalil.

Jalil menegaskan bahawa hubungan Nilam dengan individu-individu terbabit hanyalah sebagai rakan selebriti, bukan kenalan rapat, apatah lagi demi meraih manfaat peribadi.
Selain itu, sumbangan kemanusiaan Nilam merangkumi bantuan kepada mangsa konflik Palestin serta komuniti di Indonesia yang dilanda musibah dilakukan secara tertutup, jauh daripada sorotan kamera.
“Apakah membantu mereka yang memerlukan sesuatu yang tidak wajar?” soal Jalil lagi.