Skip to main content

Hiburan

“Saya Pernah Salahkan Suami Atas Kematian Anak Kami” - Safura Yaacob Imbas Kembali ‘Detik Hitam’ Dalam Rumah Tangga

Safura Yaacob

Meskipun sudah 20 tahun membina mahligai perkahwinan, pelakon dan penyanyi, Safura Yaacob akui rumah tangganya bersama aktor, Shahronizam tidak lari daripada masalah. 

Menurut Safura, dia pernah meninggalkan suaminya selama dua bulan dan pernah menuduh suaminya menjadi punca anak mereka Allahyarham Nur Aisyah Maryam meninggal dunia kerana balasan Allah di atas kesalahannya. 

“Dalam rumah tangga ini bahagia itu mahal, tidak dalam setiap rumah tangga itu aman semua orang pasti akan ada dugaan masing-masing. Orang mungkin nampak kami lalui rumah tangga selama 20 tahun bersama tapi sebenarnya macam-macam sudah terjadi. 

“Saya pernah tinggalkan dia dua bulan sebab merajuk, saya ambil anak-anak saya tapi selepas saya balik anak-anak saya histeria nampak dia. Jadi saya fikir saya kena balik sebab saya tak nak mereka hilang kasih sayang seorang ayah. 

“Saya juga pernah tuduh dia yang menyebabkan kematian anak kami kerana dia mengkhianati rumah tangga ini. Tapi lama-lama saya reda dan faham dia ada dugaan dia, saya pun ada dugaan saya dan bila dia lakukan kesilapan saya maafkan dia,” katanya kepada Gempak. 

Bagaimanapun, Safura berkata segala badai yang melanda akhirnya dapat ditempuh hasil nasihat dan doa arwah ibunya serta ibu mentua yang banyak memberi kekuatan.

Dalam pada itu, pelantun lagu Dendam Kemala turut berkongsi momen emosional apabila menerima lagu Seadanya Aku kiriman suaminya ketika berada di hospital.

“Kita bukan manusia yang sempurna tapi syukur berkat doa ibu dan ibu mentua kekal sampai hari ni meskipun banyak kesilapan yang kita lakukan. Mungkin dia mengkhianati rumah tangga pada ketika itu sebab saya juga silap sebagai isteri jadi kita tak boleh terus salahkan suami kita. 

“Tapi saya reda sebab mak saya cakap sampai bila nak lari daripada masalah, tak akan ada masalah sikit nak bercerai sebab kita sebagai suami isteri tidak sempurna. Jadi bila reda, Allah wujudkan kebahagian ini namun diuji dengan sakitnya pula. 

“Sebab itu saya menangis bila dia hantar lagu itu, dua malam saya menangis. Kami memang jarang bercakap tentang hati dan saya sedih sebab tak dapat bersamanya ketika dia melakukan pembedahan kerana atas urusan kerja namun saya sempat lari melawat dia selepas selesai kerja,” tambahnya. 

Sekadar info, Sahronizam dan Safura bertemu jodoh pada 2005 dan dikurniakan empat anak iaitu Yusoff Firdaus, Zara Nur Aisyah, Ariana Sofia dan Allahyarham Nur Aisyah Mariam.

Safura juga mempunyai dua lagi cahaya mata daripada dua perkahwinannya yang terdahulu iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi.

Must-Watch Video

Advertisement