Sekilas
- Pelakon Ruhainies mengambil tindakan undang-undang terhadap vendor yang didakwa menggunakan namanya untuk tujuan pemasaran tanpa kebenaran.
- Isu bermula selepas perbualan antara pembantu peribadinya dengan vendor tular di media sosial, melibatkan permintaan potongan harga yang berbeza daripada harga asal.
- Ruhainies mempersoalkan permohonan maaf vendor yang tidak ditujukan secara peribadi kepadanya dan menganggap ia sebagai strategi pemasaran yang dirancang.
Pelakon, Ruhainies mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah vendor yang didakwa menggunakan namanya bagi tujuan pemasaran susulan isu yang tercetus selepas sambutan ulang tahun kelahirannya.
Menurut Ruhainies, dia tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atau menggunakan namanya untuk kepentingan tertentu.
“Semestinya saya tak akan bagi muka kepada sesiapa yang mainkan nama saya untuk tujuan promosi atau apa-apalah. Mungkin dulu-dulu saya banyak kali kena. Malah sejak saya masuk dalam industri lagi, orang suka untuk aniaya.
Saya rasa lepas ini sesiapa yang cuba untuk aniaya atau menjatuhkan, walaupun kita tahu akan ada balasan daripada Allah, tapi kita ada undang-undang, kenapa tidak?” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai punca sebenar isu tersebut, Ruhainies berkata, dia mendapatkan penjelasan daripada pembantu peribadinya (PA) selepas perbualan antara PA berkenaan dengan pihak vendor tular di Threads.
“Selepas isu ini kecoh di Threads, saya ada bertanya kepada PA saya, ‘awak ada minta tajaan ke?’ Tapi sebenarnya dia minta potongan harga. Dekat laman web harga RM300, tapi bila mesej dan sebagainya, pihak tersebut beritahu harga RM480.
"Mungkin ada kos tambahan atau apa, saya tak pasti. Jadi apabila tahu harga RM480, PA saya minta diskaun RM80,” katanya.
Bagi Ruhainies, permintaan untuk mendapatkan potongan harga tersebut bukanlah satu isu besar kerana pihaknya sedia menerima sekiranya vendor berkenaan tidak dapat memberikan diskaun.
“Bagi saya, kalau dia okey untuk bagi diskaun, bagilah. Tapi kalau tak nak bagi pun okey. Tidak sepatutnya pihak mereka gunakan pemasaran yang tidak baik. Mereka nak padam nama saya tetapi tidak padam secara betul-betul. Sebelum itu saya sudah pesan kepada PA saya untuk berhati-hati kerana takut orang ambil kesempatan.
Mereka tahu saya senang tular. Nak buat orang benci senang, nak bagi suka susah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ruhainies turut mempersoalkan permohonan maaf yang dibuat pihak vendor selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai.
Menurutnya, permohonan maaf berkenaan tidak ditujukan kepadanya secara peribadi.
“Tapi permohonan maaf itu bukan ditujukan kepada saya secara peribadi. Dia cakap kepada sesiapa yang terkesan dengan saya.
“Macam dia tak ada rasa bersalah. Jadi saya tahu dia memang sudah rancang dari awal, memang untuk pemasaran. Template permohonan maaf itu pun saya tahu dia sudah buat awal,” kongsinya.
Terdahulu, nama Ruhainies hangat diperkatakan netizen selepas tular tangkap layar perbualan antara pembantu peribadinya dengan seorang vendor yang dikaitkan dengan urusan sambutan ulang tahun kelahiran pelakon berkenaan.