Pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa memberi amaran kepada individu yang didakwa memfitnahnya di media sosial.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Haqiem menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam, jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.
Advertisement
“Nak surat LOD (Letter of Demand) sampai rumah pun boleh. Menjatuhkan reputasi dan memberi ruang kepada orang lain memfitnah saya.
“24 jam, permohonan maaf secara terbuka di hadapan saya, atau saya akan ambil tindakan seterusnya mengikut undang-undang,” tulisnya.
Difahamkan, teguran itu ditujukan kepada seorang pengguna media sosial yang memuat naik video dengan kenyataan berbunyi “lelaki tak handsome takpe, janji jangan macam Haqiem Stopa”.

Haqiem dalam hantaran sama turut menyatakan rasa kecewa apabila namanya sering dijadikan bahan sindiran oleh segelintir netizen.
“Aku nak rehat sebab dah penat sangat. Tapi orang suka cabar, suka tengok orang bertindak. Aku tak koyak pun, tapi rasa macam nak ajar sikit supaya adik-adik ni tak buat sesuka hati.
Aku dah lama tunggu orang mention nama aku macam ni. Senang kerja lawyer, sebulan ada isu,” katanya lagi.
Menurut Haqiem, tindakan undang-undang itu bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa, tetapi bagi memberi pengajaran agar netizen lebih berhati-hati dalam membuat kandungan di media sosial.
“Tak ada siapa berani buat video mention nama terang-terang sebab tahu ada undang-undang. Awak sangat berani. I’m very respect you. 24 jam, datang jumpa saya, buat permohonan maaf secara terbuka atau kita teruskan mengikut undang-undang,” tegasnya.
Tidak lama selepas itu, individu terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Haqiem di media sosial.

“Saya ingin mohon maaf secara terbuka kepada @Haqiemstopa dan semua yang terlibat.
Video yang saya muat naik pada 4 Oktober dibuat sekadar content, tanpa niat untuk menjatuhkan sesiapa. Saya tak sangka ia kembali tular baru-baru ini, dan saya sedar itu adalah kesilapan saya.
Saya hanyalah content creator kecil yang masih belajar, dan saya ambil perkara ini sebagai pengajaran,” tulisnya.
Terdahulu, isteri kepada Haqiem, Aireena, turut meluahkan rasa kecewa selepas anak mereka, Hud, menerima tempias kecaman netizen susulan isu melibatkan perniagaan kedai manisan milik mereka, Hud Dessert and Coffee.
Kontroversi itu tercetus apabila Haqiem didakwa ‘membeli’ pekerja kepada pempengaruh dan usahawan terkenal Auntie Ja, selain timbul tuduhan kononnya pekerja tersebut menjual resepi manisan kepada pihak Haqiem.
Sehingga kini, Haqiem belum memberikan kenyataan lanjut mengenai perkembangan tuntutan saman tersebut.