Sekilas
- Jasmine Suraya meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir individu yang selalu mengharapkan kawan yang lebih mampu membayar makanan ketika keluar makan.
- Jasmine berkata ia boleh diterima sekali atau dua kali, tapi menjadi menjengkelkan apabila ia dijadikan satu kewajipan dan mencerminkan karakter seseorang.
- Pelakon itu juga mempersoalkan sikap individu yang tidak membayar balik wang yang telah dijelaskan oleh kawan dan menggunakan kisah sedih untuk mengelak daripada membayar.
Pelakon, Jasmine Suraya meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir individu yang sering mengharapkan dirinya dibelanja oleh kawan-kawan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Jasmine berkata perkara tersebut mungkin boleh diterima sekali atau dua kali, namun menjadi sesuatu yang menjengkelkan apabila ia mula dianggap sebagai satu kewajipan.
“Memang buat saya turn-off apabila anda mengharapkan kawan yang ‘buat lebih banyak duit’ untuk membayar makanan ketika makan di luar, terutamanya apabila mereka sendiri bukan orang yang memilih tempat tersebut.
“Sekali atau dua kali masih boleh diterima, tetapi kalau sudah menjadi satu jangkaan, memang sangat turn-off dan ia banyak menunjukkan karakter seseorang,” katanya.
Pada masa sama, Jasmine turut mempersoalkan sikap individu yang tidak membayar semula wang kepada rakan yang terpaksa menjelaskan keseluruhan bil terlebih dahulu.
“Lebih-lebih lagi apabila langsung tidak membayar semula kepada mereka selepas mereka menjelaskan keseluruhan bil. Kemudian, kerap bercerita tentang kisah kesedihan diri sendiri dan trauma zaman kanak-kanak untuk mendapatkan simpati supaya boleh mengelak daripada membayar.
“Korang pernah kenal orang macam ini?” soalnya.
