Sekilas
- Emir Irfan Mohd Zufri berkongsi momen bermakna apabila meneruskan legasi bapanya dalam projek LRT, selepas pelancaran LRT3 baru-baru ini.
- Bapanya pernah menjalani latihan pengujian sistem rel tanpa pemandu di Vancouver pada 1997 untuk Projek LRT2 yang mula beroperasi pada 1998.
- Emir kini terlibat dalam fasa T&C LRT3, namun bapanya tidak sempat melihat projek itu siap kerana meninggal dunia sebelum 2021.
Seorang jurutera penyelenggaraan yang dikenali sebagai Emir Irfan Mohd Zufri menyorot perhatian ramai apabila berkongsi detik amat bermakna buatnya selepas pelancaran LRT3 pada Isnin lalu.
Menerusi Threads, Emir yang berusia 32 berkongsi dua keping gambar memaparkan gambar arwah bapanya ketika berada di dalam tren SkyTrain di Vancouver, Kanada pada tahun 1997.
Perjelas Emir, bapanya ketika itu sedang menjalani latihan pengujian dan pentauliahan bagi sistem rel bandar tanpa pemandu pertama Malaysia, iaitu Projek LRT2 yang kemudiannya memulakan beroperasi di Malaysia pada tahun 1998.
Tambah Emir, kini, dia pula meneruskan legasi yang turut dimulakan arwah bapanya apabila turut berkongsi gambar terkininya yang berada di dalam tren LRT3 semasa fasa T&C dijalankan.
“Repeating the same story. Gambar 1: Arwah abah masa training n testing untuk projek LRT2 @ Putra LRT @ Kelana Jaya Line, kena training dekat Vancouver. Circa 1997.
Gambar 2: Aku sendiri masa kena follow buat T&C train untuk LRT3 bg faham sistem utk maintenance. Mcm2 T&C la kena tau,” tulisnya.
Menurut Emir, arwah bapanya turut menguruskan sistem hasil talian tersebut serta menyumbang kepakaran dalam fasa awal projek LRT3 sebelum bersara pada tahun 2021.
Namun sayang apabila bapanya tidak dapat melihat projek tersebut siap sepenuhnya kerana telah meninggal dunia.
“Sayangnya arwah abah tak sempat tengok projek LRT3 siap walaupun dah involve masa awal projek sebelum pencen 2021.
Masa abah ada lagi mmg kerap tanya progress LRT3. Mcm kena jawab dgn boss2 bila abah tanya tu,” tulisnya lagi.
Sumber: Threads