Mogul muzik Sean Diddy Combs yang kini berada dalam tahanan di Metropolitan Detention Center di Brooklyn dilaporkan memulakan ‘perniagaan’ yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakan banduan.
Diddy membuka seminar keusahawanan yang antaranya mengajar peserta terlibat menguuruskan kewangan, nasihat untuk bersaing secara sihat, menangani ego serta berdepan kegagalan dan mencapai matlamat.
Advertisement
Seminar keusahawanan yang digelar Free Game with Diddy dilakukan selama dua jam untuk enam minggu selepas rakan banduan asyik bertanya tentang sejarah kariernya sehingga menjadi ikon berpengaruh dunia, lapor People.
Pecahan pembelajaran pula diberikan kepada beberapa nama seperti Just Do It, Execute, Time Waits for No Man, Can’t Stop Won’t Stop dan Failure.
Tindakan Diddy berkongsi kisah kejayaannya dalam seminar itu kemudian disampaikan oleh peserta kepada pihak mahkamah menerusi surat yang dikongsikan pihak peguam bela rapper tersebut, dalam usaha membebaskan ikon itu dari penjara.
“Saya belajar banyak perkara baharu melalui seminar Free Game with Diddy. Dia mengajar saya untuk menjadi realistik dan menggunakan kepakaran untuk berjaya,” tulis seorang banduan, Arturo Santiago.
Pihak guaman pengasas The Bad Boy Records itu berharap klien mereka dipenjara tidak kurang 14 bulan selepas didapati bersalah terhadap dua kesalahan iaitu melakukan pemerdagangan seks dan pelacuran.
Diddy yang sudah dipenjara sejak September 2024 bakal dijatuhi hukuman 11 tahun kerana jenayah yang dilakukan.