Menjadi ibu tunggal selepas bercerai bukan sesuatu yang mudah dan bekas isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, turut mengakui bakal memikul tanggungjawab besar dalam membesarkan tiga cahaya matanya.
Biarpun bukan mudah namun Dr. Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie, tetap bersyukur kerana masih dikelilingi keluarga yang sentiasa memberi sokongan moral.
“Walaupun kami sudah berpisah, saya masih memikul tanggungjawab besar terhadap anak-anak. Saya masih ada sokongan kuat daripada keluarga, terutama kerana saya masih ada ayah.
“Jadi saya rasa memang banyak cabaran untuk menjadi seorang ibu tunggal. Tapi saya sudah banyak bersama dan bergaul dengan ramai ibu tunggal lain.
“Jadi saya rasa saya sedang belajar langkah demi langkah tentang bagaimana menguruskan keluarga sendiri. Sebelum ini kita ada sokongan daripada suami, sekarang kita perlu lakukan semuanya sendiri,” katanya kepada Gempak.
Dr. Fie berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa selepas prosiding pengesahan lafaz cerai.
Dalam pada itu, Dr. Fie turut berkata kerjaya profesionalnya sebagai pengamal perubatan masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Sekarang saya masih berkhidmat di klinik sayalah. Klinik Lantara dekat Seremban. Tak ada apa-apa lagi setakat ini.
“Tak ada gangguan lagi setakat ini tentang klinik saya. Jadi saya masih bekerja di sana, dan dalam masa sama at saya juga ada jugalah bekerja di luar,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.