Sekilas
- Drama terbaharu iQIYI, ‘Sekali Lagi, Bahagia’, menampilkan Zara Zya, MK K-Clique dan Izzue Islam dalam kisah yang lebih daripada sekadar cinta tiga segi.
- Drama ini mengangkat tema realiti kehidupan seperti perceraian, stigma ibu tunggal, hubungan toksik dan perebutan hak penjagaan anak dengan elemen emosi, cinta dan humor.
- ‘Sekali Lagi, Bahagia’ akan mula ditayangkan minggu hadapan dengan 12 episod, mengisahkan perjuangan Ekin membina semula hidup dan mencari kebahagiaan selepas perkahwinan yang menyakitkan.
Platform penstriman iQIYI muncul dengan drama terbaharu berjudul, ‘Sekali Lagi, Bahagia’.
Menampilkan gandingan tiga pelakon yang sudah memiliki portfolio baik dalam industri seni tempatan iaitu Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy, drama ini bukan sekadar kisah cinta tiga segi.
Sebaliknya, ia mengajak penonton melihat bagaimana seorang wanita yang pernah berada di titik paling rendah dalam hidupnya berusaha mendapatkan semula suara, maruah dan identitinya.
Menurut pengarah, Jamal Khan, ‘Sekali Lagi, Bahagia’ bukan sebuah karya klise yang memaparkan konflik kekeluargaan biasa.
Namun ia sarat dengan emosi yang telah dijayakan dengan cukup cemerlang oleh ketiga-tiga watak utamanya iaitu Zara Zya, MK K Clique dan Izzue Islam.
“Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun menyentuh isu berat, drama ini tetap mempunyai elemen cinta, humor dan sisi kemanusiaan supaya ceritanya dekat dengan penonton yang disifatkan bagaimana setiap karakter belajar daripada kesilapan dan membuat pilihan yang lebih baik.
Kekuatan ‘Sekali Lagi, Bahagia’ terletak pada kisahnya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat, khususnya isu perceraian, stigma terhadap ibu tunggal, hubungan toksik dan perebutan hak penjagaan anak.
‘Sekali Lagi, Bahagia’ yang merupakan naskhah terbitan Orange Tree ini dijadualkan menemui penonton mulai minggu hadapan dengan 12 episod.
Sinopsis:
‘Sekali Lagi, Bahagia’ mengisahkan tentang Ekin yang perlu berdepan dengan stigma sebagai seorang wanita yang bercerai, malah terpaksa bermula dari kosong apabila sumber kewangannya disekat.
Daripada seorang suri rumah yang selama ini seolah-olah tidak mempunyai identiti sendiri, Ekin perlahan-lahan membina kehidupannya sebagai seorang wanita yang berdikari dan seorang usahawan.
Lebih menarik, ‘Sekali Lagi, Bahagia’ turut menyentuh realiti keibubapaan bersama bekas pasangan yang toksik, termasuk bagaimana trauma orang dewasa boleh memberi kesan kepada seorang anak.
Persoalannya, selepas melalui perkahwinan yang membuatkannya kehilangan diri sendiri, adakah Ekin masih berhak untuk memilih kebahagiaannya sendiri?
Dan apabila cinta hadir daripada seseorang yang lebih muda, adakah masyarakat akan melihatnya sebagai peluang kedua atau satu lagi alasan untuk menghukum seorang wanita