Sekilas
- Gempakkan Kampus akan diadakan di Dewan Lestari, UniKL MICET pada 12 November dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian ilmu dan hiburan.
- Program ini menawarkan sesi bual bicara tentang kerjaya, pengurusan kewangan, dan kesihatan mental serta persembahan daripada penyanyi popular seperti Dayang Nurfaizah dan Iman Troye.
- Mahasiswa juga berpeluang menyertai uji bakat pengacaraan dan menantikan kemunculan selebriti misteri yang akan diumumkan kemudian.
Selepas menggegarkan Universiti Putra Malaysia (UPM), Gempak kembali meneruskan kemeriahan program Gempakkan Kampus dengan membawa pelbagai aktiviti menarik khas buat warga UniKL MICET.
Bakal berlangsung pada 12 November ini bertempat di Dewan Lestari, UniKL MICET, program tersebut bukan sahaja menyajikan hiburan, malah turut memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan pelbagai perkongsian bermanfaat menerusi sesi bual bicara bersama barisan panel jemputan.
Menerusi penganjuran sebelum ini di UPM, mahasiswa berpeluang mengikuti tiga sesi perkongsian menarik yang merangkumi aspek kerjaya, pengurusan kewangan dan kesihatan mental.
Antaranya ialah sesi Peluang dan Kerjaya Bersama Mekdi yang menampilkan Melati Abdul Hai dan Azhar Darbi, selain perkongsian mengenai pengurusan kewangan menerusi Duit Masuk Duit Lepas bersama Financial Faiz dan Yaya Zahir.
Aspek kesejahteraan mental turut diberi perhatian menerusi sesi Mental Health Penting Tau yang membincangkan cara menguruskan tekanan dan menjaga kesihatan mental bersama Amirul Ramli dan Qawiyaro.
Selain perkongsian ilmu, Gempakkan Kampus turut membawakan rakaman program hiburan yang pastinya dinantikan mahasiswa menerusi Borak Dulu Baru Kamu bersama Mierul Aiman serta Gempak Jammed Session yang menampilkan penyanyi popular, Dayang Nurfaizah dan Iman Troye.
Lebih menarik, program kali ini turut menyediakan pelbagai kejutan buat warga kampus, termasuk kemunculan selebriti misteri yang bakal diumumkan kelak.
Buat mahasiswa yang mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan pula, jangan lepaskan peluang untuk menyertai sesi uji bakat yang turut dibuka kepada mereka yang berminat mencuba nasib dalam dunia hiburan.
Siapa agaknya selebriti yang bakal memeriahkan Gempakkan Kampus kali ini? Nantikan pengumuman selanjutnya!
Jadi, buat warga UniKL MICET dan mahasiswa sekitar, jangan lupa tandakan kalendar anda pada 12 November ini!
Gempakkan Kampus bakal berlangsung di Dewan Lestari, UniKL MICET bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Nantikan lebih banyak kejutan dan pengumuman menerusi platform rasmi Gempak!