Sekilas
- Adriana Ghafar kini kembali aktif dalam industri hiburan selepas berehat untuk fokus pengajian undang-undang di Universiti Malaya.
- Dia sudah layak sebagai peguam bertauliah dan bercita-cita memiliki firma guaman sendiri, namun kini beri tumpuan penuh pada kerjaya seni.
- Adriana sedang membintangi beberapa telefilem dan drama, serta aktif dalam advokasi wanita bersama organisasi Women of Will.
Pelakon dan juga Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar, kini sudah bersedia untuk kembali aktif dalam industri hiburan.
Menurut Adriana, dia mahu memulakan perjalanan baru selepas mengambil keputusan untuk berehat bagi memberi tumpuan dan memperkukuhkan pencapaian akademiknya dalam bidang pengajian undang-undang sebelum ini di Universiti Malaya.
“Sebelum ini saya pernah mengambil rehat yang agak lama daripada industri hiburan untuk memberi fokus kepada pengajian.
“Namun saya sangat bersyukur kerana industri masih memberi kepercayaan dan peluang kepada saya sebagai pelakon, model dan pengacara sejak saya kembali aktif tahun ini.
“Saya menikmati dan menghargai setiap peluang tersebut, namun bidang pengacaraan dan lakonan sentiasa dekat di hati saya dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya,” ujarnya.
Adriana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Adriana Ghafar baru-baru ini.
Dalam pada itu, Adriana berkata, dia sama sekali tidak pernah menyesal membuat keputusan menyambung pengajian, malah menyimpan hasrat untuk memiliki firma guaman sendiri.
“Saya tidak pernah menyesal untuk berehat seketika dari industri hiburan bagi menamatkan pengajian undang-undang dan bergelar peguam bertauliah.
“Pada saya itu adalah satu pencapaian yang amat saya banggakan. Impian untuk memiliki firma guaman sendiri masih ada.
“Namun buat masa ini saya mahu memberi sepenuh fokus kepada kerjaya dalam industri hiburan,” jelasnya.
Untuk info, Adriana merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University Malaya.
Adriana berjaya menamatkan tempoh chambering sekali gus melayakkan dirinya sebagai seorang peguam bertauliah.
Sepanjang tempoh tersebut juga, Adriana memperlihatkan sisi kreatifnya melalui penerbitan buku puisi berjudul ‘Everything in Between’ yang menerima sambutan positif pembaca dan kini telah habis terjual.
Adriana kini membintangi dua telefilem dan sebuah drama televisyen, bekerjasama dengan pengarah berpengalaman seperti Riza Baharudin, Zizan Nin dan Zamri Zakaria.
Selain kerjaya seni, Adriana turut aktif dalam usaha advokasi wanita melalui kerjasama bersama organisasi seperti ‘Women of Will’, mencerminkan komitmennya terhadap isu pemerkasaan wanita.