Sekilas
- Pelakon To’ Puan Syamim Freida berkongsi perasaan bercampur baur apabila rakan baiknya, Bella Astillah, bakal melangsungkan pernikahan dengan Syed Saddiq hari ini.
- Syamim memuji kekuatan Bella yang telah melalui pelbagai dugaan sebelum menemui kebahagiaan dalam perkahwinan.
- Majlis pernikahan Bella dan Syed Saddiq akan berlangsung di Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung di Astro Ria, sooka dan OnDemand.
Pelakon To’ Puan Syamim Freida mengakui perasaannya bercampur baur apabila rakan baiknya iaitu pelakon dan penyanyi Bella Astillah bakal melangsungkan pernikahan dengan Syed Saddiq pada hari ini.
Menurut Syamim, perasaan itu timbul disebabkan dia tahu Bella yang disifatkan seorang yang kuat sudah mengharungi pelbagai cabaran sebelum bertemu kebahagiaan.
“Perasaan saya bercampur baur.. happy, sedih pun ya juga sebab Bella seorang rakan yang saya dah kenal lama. Bermacam-macam dugaan yang dilalui. Ada yang dia cerita dekat orang, ada yang tidak diceritakan.
“Jadi kita tahu macam mana kuatnya seorang Bella ini. Kita akan tengok hari ini majlis pernikahan akan berlaku. Saya memang speechless… semalam dah peluk dia, dah menangis dah sama-sama,” kongsi Syamim.
Dalam pada itu, Syamim juga menitipkan doa buat pasangan mempelai, Bella Astillah dan Syed Saddiq yanb akan menjalani alam perkahwinan tidak lama lagi.
“Kepada Bella dan YB Syed Saddiq selamat menjalani alam perkahwinan, jangan berhenti pilih satu sama lain dan sentiasa bersabar. Semoga Allah jaga cinta kalian dan perkahwinan penuh dengan sakinah, mawaddah, dan rahmah,” katanya.
Untuk info, Bella dan Syed Saddiq bakal disatukan sebagai suami isteri pada Sabtu di Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur.
Jangan lupa saksikan siaran langsung majlis nikah Bella Astillah dan Syed Saddiq secara eksklusif hanya di Astro Ria, sooka dan OnDemand.