Pelakon, Datuk Aaron Aziz enggan mengulas lanjut mengenai kes saman melibatkan anak perempuannya, Dwi Ariana, yang disaman personaliti media sosial Sharina Richie sebanyak RM2 juta.
Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, pada ketika ini banyak perkara yang boleh dikongsikan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Advertisement
"Perkara itu masih dalam tindakan undang-undang saya rasa tidak banyak yang boleh dikongsikan, kita tengok dulu bila sudah masuk ke mahkamah nanti baru boleh kongsi selebihnya.
"Buat masa sekarang semuanya masih dalam siasatan diperingkat saman menyaman. Biarkan mereka buat kerja, bila tiba masanya naik mahkamah nanti baru tahu keputusannya," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu Aaron akui tetap berasa bimbang dengan keadaan anak keduanya itu memandangkan dia berada jauh dari depan mata ibu bapanya.
Walau bagaimanapun, Aaron yakin anaknya itu mampu menghadapi situasi tersebut dengan tenang kerana Dwi Ariana merupakan pelajar jurusan psikologi.
“Susah nak cakap sebab kami jarang berjumpa. Bila berbual melalui telefon, dia nampak gembira, tapi kita tak tahu apa yang dia rasa sebenarnya. Baru-baru ini dia ada mesej saya, luahkan rasa rindu.
"Saya rasa dia sudah dewasa dan mengambil psikologi dalam pengajian, semua ini bukan masalah besar bagi dia," katanya lagi.
Sebelum ini, Aaron meluahkan rasa terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial itu yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya.
Dia percaya anaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan berat sehingga perlu diheret ke mahkamah.
Terdahulu, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina mula tercetus susulan penularan sebuah video yang memaparkan kenyataan berbaur sensitif.
Video tersebut menyaksikan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Sharina telah memadam hantaran tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron.
Namun Sharina tetap menerima kritikan hebat di media sosial, termasuk dakwaan menjadi sasaran serangan peribadi daripada sesetengah pihak.