Naluri seorang ayah yang ada dalam diri pesohor Shah Rukh Khan sangat besar. Bintang Bollywood itu sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan anaknya.
Hal itu didedahkan oleh peguam yang telah membantu Shah Rukh Khan atau SRK, ‘menyelamatkan anak bujangnya, Aryan Khan sewaktu ditangkap atas dakwaan terlibat dengan kes dadah beberapa tahun lalu.
Advertisement
Menerusi temu bual dalam program The Legal Side of Things untuk Republic TV, Rohatgi mendedahkan telah ditawarkan penerbangan menggunakan jet peribadi agar SRK dapat menggunakan khidmatnya menjadi peguambela Aryan pada waktu itu.
“Seorang yang rapat dengan SRK telah menghubungi saya. Saya waktu itu sedang bercuti di England jadi saya menolak tawaran yang diberikan.
“Namun saya kemudian dihubungi secara peribadi oleh SRK. Saya masih menolak untuk menerima pekerjaan tersebut. SRK minta saya memberi telefon kepada isteri saya dan ingin bercakap dengannya.
“Dan dia berjaya memujuk isteri lalu menukar fikiran saya. Dia memang seorang pelakon yang hebat bukan?”dedah Rohatgi seperti dilaporkan Hindustantimes.
Rohatgi juga memberitahu: “Oleh kerana saya di UK, SRK sangat bermurah hati. Dia tawarkan jet peribadi untuk membawa saya pulang ke Mumbai.
“Saya pulang ke India tanpa menerima tawaran tersebut (jet peribadi) tapi SRK telah menginap di hotel tempat saya selalu menginap di Mumbai demi menyelesaikan kes anaknya.”
Rohatgi juga masih ingat SRK meminta dirinya tidak menyifatkan dirinya sebagai seorang klien tetapi meletakkan naluri seorang bapa dalam menangani kes tersebut.
“Saya dapati SRK seorang yang bijak dan melakukan banyak kajian untuk membantu anaknya. Selepas membantu mereka, saya pulang semula ke England dan menghabiskan cuti bersama keluarga,” katanya.
Pada Oktober 2021, Aryan dan beberapa rakan yang lain ditangkap selepas dikaitkan dengan kes penjualan dadah di atas sebuah kapal layar di perairan Goa di Mumbai.
Aryan dilepaskan daripada tahanan selepas tiga minggu menghabiskan masanya dipenjara dan didapati tidak bersalah serta ‘bersih’ daripada jenayah tersebut.