Pelakon dan model, Sharifah Haneesya Hanee mengakui pernah melalui fasa sukar dalam kerjayanya apabila sering ditolak setiap kali menghadiri sesi uji bakat (casting) gara-gara kontroversi lalu yang pernah mengheret namanya.
Menurut Haneesya, 25, persepsi negatif masyarakat terhadap dirinya memberi kesan besar terhadap perjalanan kariernya sehingga pernah terdetik untuk meninggalkan industri seni.
Advertisement
“Sedih lah. Orang tak tahu betapa susahnya saya nak sampai ke tahap sekarang.
“Saya dah pergi banyak casting tapi banyak kali ditolak. Pernah sampai rasa nak give up, rasa nak jadi pramugari atau kahwin walaupun tiada teman lelaki. Sebab macam penat sangat nak buktikan diri,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Dia Imamku itu, dia mengakui tidak sempurna namun berharap masyarakat tidak terus menghukumnya atas kesilapan lalu.
“Saya tahu saya bukan sempurna, tapi tak adil bila setiap perkara orang nak kaitkan dengan satu kesalahan lama saya.
“Dosa saya bukan hanya satu, tapi janganlah hukum saya sepanjang hidup dengan perkara yang dah lama berlalu,” katanya lagi.
Terdahulu, sekitar tahun 2018, nama Haneesya menjadi perhatian selepas tular sebuah video memperlihatkan dia bersama rakan-rakan di sebuah kelab malam.
Kesan daripada kejadian tersebut amat besar apabila gelaran Juara Dewi Remaja yang disandangnya ketika itu telah ditarik balik selain beberapa tawaran lakonan turut dibatalkan oleh pihak produksi.