Pelakon dan model, Sharifah Haneesya Hanee tampil berkongsi perkembangan terbaharu mengenai isu bayaran tertunggak berjumlah rm18,000 daripada sebuah agensi sebagai bayaran selepas mempromosikan sebuah kereta jenama automotif terkenal.
Menurut Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, dia kini sudah melantik peguam dan menghantar surat tuntutan rasmi kepada individu terbabit, namun surat berkenaan dikembalikan semula selepas dipercayai enggan diterima pihak tersebut.
Advertisement
“Saya sudah ‘lawyer up’. Tapi biasalah, bila libatkan undang-undang, prosesnya makan masa.
“Peguam saya dah hantar surat, tapi surat itu dipulangkan semula. Mungkin orang itu tak nak terima surat tu. Jadi sekarang peguam saya sedang teruskan ke fasa seterusnya,” katanya.
Haneesya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media filem Malam Terlarang di GSC Mid Valley pada malam Selasa lalu.
Haneesya mendakwa individu yang sama turut menipu ramai pihak termasuk rakan selebriti lain.
“Selepas saya kongsi tentang isu ini, ramai artis mesej saya cakap mereka pun pernah kena dengan orang yang sama.
“Bukan nak tutup periuk nasi orang, tapi individu macam ni yang sebenarnya rosakkan rezeki kami sebagai pelakon dan pempengaruh.
“Yang sedihnya, content saya masih disiarkan oleh pihak syarikat, mereka masih dapat engagement, tapi saya langsung tak terima bayaran satu sen pun tak ada,” katanya lagi.
Mengimbas semula, Haneesya mendedahkan dia ditipu selepas bersetuju menerima tawaran penggambaran daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen bagi syarikat automotif ternama.
“Job itu orang lain yang pass pada saya. Bila saya setuju, ejen itu baru contact saya. Saya percaya sebab nama jenama kereta itu besar.
“Tapi itulah silap saya sebab terlalu percaya. Saya tak dapat agreement rasmi, sebab fikir syarikat besar tentu semuanya betul,” jelasnya.
Berikutan pengalaman tersebut, pelakon drama Dia Imamku itu kini lebih berhati-hati setiap kali menerima tawaran kerja.
“Sekarang saya dah ada syarat sendiri. Nak saya buat review atau content, kena bayar dulu. Saya juga dah ada surat perjanjian sendiri supaya tak terkena lagi,” ujarnya.
Haneesya sebelum ini mengejutkan ramai apabila mendakwa ditipu sebuah agensi selepas menjalani penggambaran iklan bersama jenama automotif terkenal, menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM18,000.
Dalam pada itu, Haneesya kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Aila Azizul dan Hasnul Rahmat.
Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.
