Pelakon dan model, Sharifah Haneesya Hanee mengakui berasa sedih apabila sering disalah anggap masyarakat, terutama apabila dirinya terpalit dalam isu-isu tidak diingini sehingga ada yang menuduhnya sebagai individu bermasalah.
Menurut Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 26, persepsi negatif itu kembali timbul susulan pendedahannya baru-baru ini mengenai isu bayaran tertunggak daripada sebuah jenama automotif tempatan bernilai RM18,000 yang masih belum dilunaskan sejak beberapa bulan lalu.
Advertisement
“Mungkin orang rasa sebab saya pernah viral dulu, jadi mereka fikir saya ni problematik. Tapi yang sebenarnya, saya cuma menuntut hak saya sebagai pekerja.
“Saya yang bekerja, saya yang tak dibayar, tapi orang pula salahkan saya. Itu sangat tak adil,” katanya dengan nada kecewa.
Haneesya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media filem Malam Terlarang di GSC Mid Valley.
Tambah pelakon drama Dia Imamku itu, sejak mula menempuh pelbagai kontroversi beberapa tahun lalu, dia cuba menebus semula nama dan memulakan kehidupan baharu tanpa sebarang isu sensasi.
“Saya kalau boleh nak ‘clean slate’. Sekarang pun saya memang cuba untuk jaga imej, tapi bila jadi perkara macam ni, orang terus cakap saya banyak masalah.
“Saya pun manusia biasa. Saya cuma nak teruskan hidup dan bekerja dengan jujur,” jelasnya.
Dalam pada itu, Haneesya kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.
Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.