Sekilas
- Sharifah Shahirah mengakui dia juga menghadapi konflik dengan anak-anak dan masih belajar mengawal emosi sebagai seorang ibu.
- Sheira lebih selesa menyelesaikan masalah keluarga secara tertutup dan tidak gemar berkongsi isu peribadi di media sosial.
- Dia menghormati cara setiap individu menangani masalah keluarga dan percaya setiap orang ada ujian dan cara tersendiri.
Pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah mengakui dia juga tidak terlepas daripada berdepan konflik bersama anak-anaknya.
Menurut Shahirah yang lebih mesra disapa Sheira, ragam setiap anak berbeza dan sebagai ibu, dia juga masih belajar mengawal emosi setiap kali berdepan dengan situasi berkenaan.
“Apabila marah, kita memang boleh terlepas kata. Sebab itu kita perlu berfikir. Banyak yang kita sendiri perlu belajar sebagai seorang ibu.
“Bukan niat kita mahu anak jadi teruk, tetapi apabila geram, kadang-kadang mulut memang terlepas. Tetapi kita tidak boleh menjadi orang lain. Saya memang begini. Ibu saya dahulu pun marah dan maki saya juga.
“Namun, pada akhirnya kita tahu ibu kita sebenarnya mendoakan yang terbaik. Cuma kita mengambil masa untuk faham. Jangan jadikan keadaan lebih teruk,” katanya kepada Gempak.
Ditanya pendapat mengenai tindakan sesetengah ibu yang memilih untuk berkongsi hal berkaitan anak di media sosial, Sheira berkata setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam berdepan dengan masalah keluarga.
“Memang perkara berkaitan anak ini sensitif. Tetapi bagi saya, perangai setiap orang berbeza. Kadang-kadang lebih baik kita berdiam. Kalau satu pihak tengah bising, mungkin satu lagi diam dahulu. Sepuluh hari kemudian mungkin semuanya okey.
“Jangan kita pula sibuk bercakap mengenai orang. Itu drama kehidupan biasa. Masing-masing ada ujian. Saya pula diuji dengan cara lain. Jadi kita tidak boleh harapkan semua orang bertindak mengikut cara kita,” kongsinya.
Tambah Sheira, dia lebih selesa menyelesaikan masalah membabitkan keluarga secara tertutup.
“Pada saya, saya lebih suka selesaikan perkara peribadi di belakang. Saya sendiri pernah melalui macam-macam perkara. Kalau gaduh suami isteri atau apa sahaja, saya selesaikan di belakang.
“Kalau boleh, saya memang tidak mahu orang tahu. Saya lebih suka berkongsi perkara yang positif dan baik-baik sahaja kepada orang lain. Tetapi itu saya. Kalau orang lain suka meluahkan atau berkongsi, itu terpulang kepada mereka. Biarkanlah,” jelasnya.