Sekilas
- Sharifah Shahirah meluangkan masa menziarahi anak sulung Amyza Aznan, Andre Mikhail, di Hospital Kuala Lumpur walaupun jadualnya padat selepas mendapat maklumat keadaan Andre semakin serius.
- Shahirah berkongsi kenangan rapat termasuk mencadangkan nama Andre dan berada di bilik bersalin ketika kelahiran arwah Andre Mikael.
- Andre Mikhail meninggal dunia pada usia 20 tahun akibat kanser paru-paru tahap empat, meninggalkan keluarga yang sangat rapat dan penyayang antara satu sama lain.
Penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah berkongsi detik apabila melawat anak sulung pelakon Amyza Aznan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam.
Menurut Shiera, 51, dia tetap mencari ruang untuk menziarahi Andre walaupun jadualnya padat selepas dimaklumkan keadaan semakin serius.
“Saya memang cari masa untuk lari sekejap (melawat) walaupun sibuk sebab saya tahu situasinya sekarang dah agak serius berdasarkan ‘update’ yang diterima.
“Selalunya kami hanya tengok perkembangan masing-masing dari jauh melalui Instagram saja sebab masing-masing sibuk dengan keluarga. Kalau nampak dia gembira dekat IG, maknanya kami pun rasa okaylah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di Kuala Lumpur pada Isnin.
Shiera turut mengimbau hubungan rapat mereka sejak dahulu apabila dia juga berada di dewan bersalin ketika Amyza melahirkan arwah Andre Mikael.
Malah, Shiera turut mendedahkan nama Andre itu sebenarnya adalah cadangan daripadanya sendiri.
“Saya kenal anak-anak dia dari kecil lagi. Malah masa Amyza lahirkan Mikael (Andre Mikael) pun, saya ada sekali dalam bilik bersalin sebab kami kongsi doktor yang sama. Saya yang ‘menyambut’ dia.
“Nama ‘Andre’ itu sebenarnya saya yang bagi. Masa tu saya tengah fikir nama untuk anak saya sendiri tapi akhirnya saya tak guna nama tu. Saya cakap pada Amyza, ‘Aku suka nama orang putih sikit ni, Andre.’ Jadi Amyza ambil dan gabungkan jadi Andre Mikael,” kongsinya.
Berkongsi momen terakhir ketika melawat, Shiera tidak mampu menahan sebak melihat keadaan Andre dan sahabatnya itu.
“Bila saya masuk tadi melawat, saya tak boleh tahan sedih. Amyza dah berhenti menangis tapi saya pula yang menangis. Saya rasa sangat sedih.
“Saya pesan pada mereka, ‘Korang jangan menangis, nanti saya pun tak boleh berhenti nangis.’ Saya tak mampu nak cakap banyak, hanya mampu doa dalam hati moga Amyza terus kuat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Andre dan adik-beradiknya merupakan anak yang sangat rapat dengan keluarga serta taat kepada ibu mereka.
"Andre memang anak yang sangat baik, dia banyak membantu jaga adik-adik. Mereka memang sangat rapat dengan keluarga. Amyza pula memang jenis ibu yang sentiasa dengan anak-anaknya.
“Yang saya tak boleh tahan bila tengok adik kecilnya. Mungkin sebab Amyza sibuk, Andre yang jaga adik itu. Tadi pun adiknya tak mahu terlalu dekat dengan abang sebab tak sanggup. Semua orang tak sanggup tapi kita kena lalui juga,” katanya.
Untuk info, anak sulung Amyza, Andre Mikhail, dilaporkan meninggal dunia pada malam Isnin sekitar pukul 10.15 malam akibat kanser paru-paru tahap empat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 20 tahun selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur beberapa hari sebelum itu.