Sekilas
- Vokalis Sheila On 7, Duta, menjelaskan kumpulannya lebih selesa berkongsi cerita melalui radio berbanding podcast kerana radio dipantau oleh Komisi Penyiaran Indonesia (KPI).
- Duta menegaskan Sheila On 7 tidak gemar mendedahkan kisah peribadi secara terbuka dan memilih platform yang sesuai untuk semua peringkat umur.
- Menurut Duta, tanggungjawab moral lebih besar dalam podcast kerana kandungannya boleh diakses oleh pelbagai lapisan umur, menjadikan radio medium paling sesuai untuk mereka.
Vokalis Sheila On 7, Akhdiyat Duta Modjo atau lebih dikenali sebagai Duta, mendedahkan sebab kumpulannya jarang muncul dalam podcast.
Menurut Duta, Sheila On 7 lebih selesa berkongsi cerita menerusi program radio berbanding podcast.
Mengakui format siaran langsung di Instagram, TikTok dan podcast mempunyai persamaan dengan radio, Duta bagaimanapun berkata radio masih menjadi medium yang lebih sesuai buat mereka.
"Sebenarnya lebih seronok bercerita di radio," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi Sheila On 7 seperti dilaporkan Kompas.
Duta menjelaskan, antara faktor utama mereka memilih radio ialah kerana kandungannya dipantau oleh Komisi Penyiaran Indonesia (KPI).
"Radio dipantau oleh KPI. Bukan bermaksud apa yang dibincangkan perlu ikut peraturan. Sebenarnya banyak perkara boleh dikupas dengan lebih mendalam, tetapi masih ada batas-batas tertentu yang membezakannya dengan kandungan yang sedang menjadi trend sekarang seperti podcast," katanya.
Pelantun lagu Melompat Lebih Tinggi itu turut menegaskan Sheila On 7 bukan sebuah kumpulan yang gemar mendedahkan kisah peribadi semata-mata untuk tatapan umum.
"Sheila On 7 bukan band yang suka membuka cerita-cerita yang sebenarnya orang ramai tidak perlu tahu. Masih banyak cerita yang belum pernah didengar orang, tetapi ia boleh dikongsikan dalam ruang yang lebih mesra untuk semua peringkat umur pada waktu yang tepat,” ujarnya.
Dalam masa sama, Duta berpendapat podcast mempunyai cabarannya tersendiri kerana boleh diakses oleh penonton daripada pelbagai lapisan umur.
"Walaupun ada amaran atau penanda tertentu, siapa sahaja boleh menontonnya. Sedangkan bahasa yang digunakan dalam banyak podcast sebenarnya tidak sesuai untuk semua peringkat umur," katanya.
Tambah Duta, tanggungjawab moral ketika muncul dalam podcast juga dirasakan lebih besar.
"Sebenarnya tanggungjawab moral itu lebih berat. Bukan semua podcast begitu, tetapi kebanyakan yang mendapat tontonan tinggi selalunya kerana mendedahkan perkara yang sebenarnya tidak perlu dikongsikan," katanya.
"Sheila On 7 pula bukan kumpulan yang suka melakukan perkara seperti itu," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Duta berasakan radio kekal menjadi platform paling sesuai untuk Sheila On 7 berkongsi cerita, khususnya berkaitan perjalanan muzik mereka.
"Bagi kami, tempat yang paling sesuai ialah di studio radio. Di situlah Sheila On 7 lebih selesa berkongsi cerita tentang Sheila On 7 kerana dari sudut tanggungjawab moral, terasa seperti ada yang menjaga dan memantau," katanya mengakhiri perbualan.