Sekilas
- Sheila Majid telah dikurniakan gelaran Datuk Seri melalui Darjah Seri Sultan Ahmad Shah (SSAP) sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang.
- Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar Sheila dalam industri hiburan Malaysia dan Nusantara sejak tahun 1980-an.
- Selain Sheila, 16 individu lain termasuk tokoh politik dan ketua jabatan turut menerima darjah SSAP pada istiadat yang sama.
Pesohor muzik tanah air, Sheila Majid kini bergelar Datuk Seri selepas dikurniai Darjah Seri Sultan Ahmad Shah (SSAP) sempena dengan Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penghargaan tersebut diberi kepada penyanyi Legenda berusia 61 tahun sempena sumbangan dan jasa Sheila yang begitu besar terutama dalam lapangan hiburan baik di Malaysia mahupun Nusantara.
Sepanjang kembara seninya sejak awal 80-an, Sheila telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk menjadi penyumbang kepada industri hiburan dikenali dunia.
Sheila antaranya pernah memenangi America's International Star Search Award sebagai Penyanyi Wanita Terbaik di Tokyo Music Festival pada 1989.
Beliau juga merupakan artis Malaysia pertama yang berjaya menembusi pasaran muzik Jepun dan artis Malaysia pertama mengadakan konsert solo di West End, London pada 1996.
Ratu Jazz negara tersebut sebelum dikurniai gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato sempena ulang tahun keputeraan ke-78 Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober 2008.
Pada istiadat sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 16 individu, antaranya Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Turut menerima SSAP Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Penerima lain SSAP Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Datuk Amran Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Baginda turut mengurniakan SSAP kepada Canselor Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak; Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.
Turut menerima darjah sama Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha.
Pada istiadat tersebut menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 52 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang.