Sekilas
- Shiha Zikir berkongsi bahawa ibunya, Rohana Ibrahim, kini dibenarkan pulang selepas rawatan di hospital, namun memerlukan perhatian penuh kerana kesihatan yang sedikit merosot.
- Shiha belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci mengenai penyakit ibunya dan berharap hanya keluarga yang tahu bagi menjaga privasi dan ketenangan ibunya.
- Shiha bersyukur kerana mempunyai sokongan adik-beradik dalam menjaga ibunya dan bertekad untuk bekerja keras demi memastikan ibunya sentiasa dalam keadaan selesa dan positif.
Penyanyi, Shiha Zikir berkongsi keadaan terkini ibunya, Rohana Ibrahim yang kini dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Kongsi pemilik nama Nurshiha Mohd Zikir ini, keadaan kesihatan ibunya sedikit merosot dan memerlukan dirinya memberikan perhatian penuh.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Minta Ampun ini memaklumkan dirinya belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci mengenai sakit yang dihidapi ibunya.
“Keadaan mak ketika ini yang memerlukan saya untuk memberikan fokus kepadanya. Saya belum bersedia nak kongsikan sebab tak mahu ibu dihubungi ramai orang dan membuatkan dia rasa tak selamat. Buat masa ini biar keluarga saja yang tahu.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan adalah keputusan itu agak mengejutkan saya tapi dalam masa yang sama saya sangat bersyukur kerana mak sangat positif,” katanya kepada Gempak.
Shiha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 bertempat di Hyatt Regency Kuala Lumpur pada Khamis.
Berkongsi lanjut, Shiha memaklumkan dia berasa sangat luluh sehingga menitiskan air mata sewaktu mengetahui keputusan kesihatan ibunya.
Bagaimanapun, sikap ibunya yang sangat positif membuatkan dirinya bersemangat untuk melawan ujian tersebut bersama-sama.
“Luluh hati saya, sangat terkejut dan pastinya saya menangis sebab saya terkejut sangat.
“Satu perkara yang saya tak sangka berlaku macam itu saja. Tapi apa yang saya boleh katakan ialah saya sangat bersyukur dikurniakan seorang ibu yang sangat positif dan kuat dan membuatkan saya bersemangat.
“Alhamdulillah, sekarang ni dalam fasa untuk saya menjaga kesihatan dan mental mak. Saya nak dia gembira sepanjang tempoh rawatan dijalankan.
“Saya harap sangat mak akan terus diberikan kekuatan dalam diri serta diberikan kesihatan mental yang stabil,” katanya lagi.
Ditanya mengenai cara dirinya membahagikan masa dengan kerjaya, penyanyi berusia 38 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana mempunyai adik-beradik lain yang menjadi sumber sokongan buatnya.
Ujar Shiha, mereka sekeluarga akan bergilir-gilir menjaga ibu bagi memastikan kebajikan dan keperluannya sentiasa terjaga.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana mempunyai adik-beradik yang boleh membahagikan masa untuk menjaga mak.
“Mak juga seorang yang sangat positif dan sentiasa memberi semangat buat Shiha untuk meneruskan kerjaya dan sekarang ini pada saya hanya satu iaitu saya perlu kerja keras untuk mak.
“Saya akan kerja keras dan pastikan mak dalam keadaan yang selesa,” ujarnya.
Terdahulu, Shiha menyorot perhatian apabila berkongsi mengenai keadaan ibunya yang dirawat di hospital menerusi perkongsian di Instagram (IG).
Shiha kemudiannya memaklumkan dia berasa sangat sayu selepas menerima keputusan ujian kesihatan ibunya ditambah pula dengan kehilangan kucing tersayang.