Skip to main content

Hiburan

“Siapa Beri Kebenaran? Itu Adalah Harta Anak-Anak Yatim” – Nora Ariffin Persoal Rossa Rakam Semula Lagu Sinaran

bhj

Penyanyi Datuk Nora Ariffin mempersoalkan tindakan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang merakam semula lagu ikonik Sinaran dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa.

Menurut Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan arwah suaminya, Johan Nawawi bersama komposer tersohor Allahyarham Adnan Abu Hassan, 

Advertisement

Jadi, sebagai pewaris dia tertanya-tanya mengenai pihak yang memberi keizinan untuk penggunaan karya itu.

“Menarik, tapi sebagai pewaris saya cuma ingin tahu, siapa sebenarnya beri keizinan untuk lagu ini?

“Saya sudah menghubungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Mereka kata bayaran dibuat kepada pihak penerbit, tetapi sehingga kini perkara itu masih tergantung tanpa penjelasan lanjut,” kata Nora menerusi Instagram Story.

scds

Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Hanya Satu itu turut menjelaskan bahawa isu hak cipta dan royalti tidak sepatutnya dipandang ringan, apatah lagi bagi pewaris karyawan yang telah meninggal dunia.

“Ramai tidak tahu, kebanyakan komposer dan penulis lirik tidak mempunyai pencen, tiada KWSP, tiada simpanan tetap.

“Royalti itulah pencen mereka. Bila seseorang karyawan pergi, pewaris berhak mendapat bahagian itu untuk menyara anak-anak yang ditinggalkan

“Itu bukan sekadar wang, tetapi harta peninggalan anak-anak yatim. Jangan ambil mudah dan jangan lepas tangan,” tegasnya.

Terdahulu, video teaser EP Asmara Dansa yang dikongsikan Rossa di media sosial menampilkan versi baharu Sinaran hasil kolaborasi bersama penyanyi rap, MK K-Clique.

Lagu Sinaran sebelum ini pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid sekitar era 1980-an dan dianggap antara karya paling berpengaruh hasil sentuhan dua nama besar industri muzik tanah air, Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan.

Sekitar Julai lalu, Nora pernah membangkitkan isu serupa apabila mendakwa pewaris masih belum menerima bayaran royalti sepenuhnya, malah jumlah yang diterima sebelum ini hanyalah sekitar RM60.

Setakat ini, pihak Rossa dan syarikat rakamannya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement