Skip to main content

Berita Tempatan

SINAR Hulur Bantuan Beg Hoki Kepada Pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil

sinar_sukan

Sekilas

  • SINAR menyumbang RM7,000 berupa 30 beg hoki kepada pemain hoki bawah 17 tahun Sekolah Sukan Bukit Jalil bagi membantu keperluan latihan dan kejohanan.
  • Program Beg Hoki SINAR bertujuan meringankan beban kewangan atlet muda dari keluarga kurang berkemampuan supaya mereka dapat terus mengembangkan bakat sukan.
  • Majlis penyerahan bantuan turut dihangatkan dengan kehadiran Trio Petang SINAR yang menyertai cabaran hoki bersama pemain, memberi kenangan bermakna kepada penerima.

SINAR meneruskan komitmen membantu golongan memerlukan menerusi pelaksanaan program kebajikan berterusan apabila menyalurkan bantuan bernilai RM7,000 kepada pemain hoki Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Sumbangan tersebut melibatkan pemberian 30 unit beg hoki untuk kegunaan latihan dan kejohanan, khusus buat pemain bawah 17 tahun yang kebanyakannya mewakili negeri masing-masing di peringkat kebangsaan.

Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada program Peka dan Prihatin SINAR yang turut dikenali sebagai Beg Hoki SINAR, bertujuan meringankan beban kewangan atlet muda daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Kami di SINAR percaya setiap atlet muda wajar menerima sokongan untuk terus mengembangkan bakat mereka. Kos peralatan sukan seperti beg hoki bukan murah, dan bantuan ini diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan sekali gus memberi motivasi untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Menurut Zureen, sukan bukan sahaja membentuk fizikal yang sihat, malah berperanan membina disiplin, semangat berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan atlet muda. Sehubungan itu, SINAR mahu memastikan bakat-bakat berpotensi tidak terhenti hanya kerana kekangan kewangan.

Tambahnya, usaha tersebut juga membawa mesej bahawa masyarakat sentiasa prihatin terhadap perjuangan atlet muda, selain mencerminkan komitmen jangka panjang SINAR dalam menyumbang kepada bidang sukan, pendidikan dan kebajikan.

“Kami akan terus mencari peluang untuk membantu golongan memerlukan. SINAR mahu menjadi jenama yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut memberi nilai dan impak positif kepada masyarakat,” katanya lagi.

Majlis penyerahan bantuan itu turut diserikan dengan kehadiran Trio Petang SINAR iaitu Kak Sheera, Hefny dan Falyq yang menceriakan suasana apabila menyertai beberapa cabaran hoki bersama para pemain. Aksi mereka nyata mencuit hati dan memberi kenangan bermakna kepada penerima bantuan.

SINAR yakin sokongan kecil seperti ini mampu menyuntik semangat besar kepada atlet muda untuk terus cemerlang dan mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

Must-Watch Video

Advertisement