Sekilas
- Sissy Iman mengesahkan akan berkahwin pada bulan Disember ini tetapi merahsiakan tarikh sebenar atas permintaan keluarga.
- Bakal suami Sissy adalah seorang doktor dan bukan dari kalangan selebriti atau industri seni.
- Persiapan majlis perkahwinan sudah mencapai 70 peratus dan mereka akan terus bernikah tanpa majlis bertunang berasingan.
Penyanyi, Sissy Iman akhirnya mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama dalam masa terdekat.
Menurut Sissy, majlis pernikahannya akan berlangsung pada bulan Disember ini, namun memilih untuk merahsiakan tarikh sebenar bagi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Saya kongsikan bersama semua, ya benar saya dan insya-Allah saya akan berkahwin. Tetapi tempohnya itu adalah satu perkara yang saya ingin simpankan.
“Maksudnya untuk menghormati kedua keluarga jadi saya simpan dahulu mengenai perkara itu.
“Saya hanya mohon anda semua doakan yang baik baik untuk kami,” ujarnya.
Sissy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Dengan Kamu yang berlangsung di Qeqoz Gifts & Cafe, Kuala Lumpur, petang Isnin.
Dalam masa yang sama, Sissy mendedahkan bahawa jejaka pilihan hatinya bukanlah seorang selebriti atau rakan dari industri seni sebaliknya merupakan seorang doktor.
“Apa yang saya boleh katakan, bakal suami saya bukan rakan indistri dan tidak ada kena mengena dengan industri muzik.
“Saya mengenali dia tahun ini, mungkin rezeki dan sudah sampai masanya untuk saya berkahwin pada tahun ini juga,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, Sissy mendedahkan hubungan itu bermula secara tidak dirancang apabila dia bertemu jejaka berkenaan ketika mendapatkan rawatan.
“Masa saya kenal dengan dia, dia tak tahu pun saya penyanyi. Dia memang tak tengok televisyen.
“Dia sebenarnya seorang doktor dan kami mula berkenalan pada tahun ini. Permulaan kami berkenalan pun sewaktu saya menjadi pesakitnya ketika itu,” jelasnya.
Mengulas mengenai persiapan majlis pula, Sissy memaklumkan bahawa segala persediaan kini sudah mencapai tahap sekitar 70 peratus.
“Detik perkenalan kami berlaku dengan pantas jadi sekarang ini persiapan sudah dilakukan lebih kurang dalam 70 peratus.
“Saya dan dia belum bertunang dan kami memang akan terus bernikah pada hari berkenaan tetapi akan ada upacara tunang terlebih dahulu.
“Kemudian diikuti dengan majlis pernikahan pada hari yang sama,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan hati Sissy sudah dimiliki seseorang selepas dia memuat naik hantaran menunjukkan dia memakai cincin, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.
Dalam perkembangan lain, Sissy turut melancarkan single baharunya Dengan Kamu, yang kini sudah boleh didengari di semua platform digital.