Tindakan spontan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghiburkan penumpang dalam sebuah pesawat ke Jogjakarta, Indonesia mencuri perhatian warganet.
Menerusi perkongsian di Instagram, Siti dilihat mengadakan sesi ‘nyanyian’ bersama penumpang ketika menaiki penerbangan ke Jogjakarta, Indonesia.
Advertisement
“Bukan selalu dapat beramah mesra dan menghiburkan para penumpang di dalam pesawat dan alhamdulillah, sejam sebelum sampai ke destinasi, saya sempat menguji kemampuan beberapa penumpang menyampaikan lagu saya,” tulisnya.
Menurut Siti, penumpang yang menyertai pertandingan nyanyian itu tidak pulang dengan tangan kosong apabila AirAsia menyediakan hadiah berupa cenderamata, manakala pemenang utama menerima tiket penerbangan pergi dan balik dari mana-mana destinasi Indonesia ke Malaysia.
“Terima kasih kepada pengerusi eksekutif Capital A & AirAsia, Yang Berbahagia Datuk Kamarudin Meranun kerana sudi menyediakan hadiah dan turut terbang bersama-sama hari ini,” katanya.
Pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 46, turut mempersembahkan dua lagu popularnya iaitu Bukan Cinta Biasa dan Menamakanmu Cinta menggunakan sistem interkom pesawat.
Meskipun hanya berbekalkan mikrofon kabin, kelunakan suara pelantun lagu Anta Permana itu membuatkan ramai penumpang terpesona.
Lebih menarik, rata-rata warganet kagum dengan sikap rendah diri penyanyi nombor satu negara itu kerana memilih untuk terbang dengan kelas ekonomi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat memuji kelunakan suara pelantun Anta Permana itu yang tetap merdu meskipun tanpa sistem bunyi profesional.
Malah, sikap rendah diri Siti yang memilih untuk menaiki kelas ekonomi turut mendapat perhatian netizen.
“Jutawan pun rileks je naik economy takda masalah.
“Economy jadi super special sebab TokTi.
“Semudah itu je orang yang betul-betul berbakat. Tak perlu sound system gah pun suara tetap lunak,” komen beberapa netizen.